Kebolehcapaian akses LRT3 perlu dipertingkat lagi

- Advertisement -

TANJONG KARANG: Isu akses ke stesen dan kemudahan laluan pejalan kaki yang belum lengkap perlu diberi perhatian serius bagi memastikan pembukaan Laluan Rel Ringan 3 (LRT3) benar-benar mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Shah Alam dan Klang.

- Advertisement -

Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, pembukaan LRT3 selepas hampir sedekad menunggu sememangnya memberi manfaat kepada rakyat Selangor, namun keberkesanannya bergantung kepada tahap kebolehcapaian pengguna untuk ke stesen.

“Persoalannya, adakah kesesakan di Shah Alam dan Klang benar-benar akan berkurangan? LRT3 merupakan antara projek pengangkutan awam terbesar di Selangor.

“Sudah tentu kita berharap projek ini dapat mengurangkan kesesakan dan memudahkan perjalanan harian, tetapi masih ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong.

Beliau berkata, walaupun perkhidmatan bas Smart Selangor, Rapid KL dan Rapid On Demand disediakan, masih terdapat kawasan yang berdepan tempoh menunggu lama serta liputan laluan yang belum menyeluruh.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan sebahagian pengguna masih terpaksa memandu kenderaan sendiri untuk ke stesen kerana akses yang kurang memudahkan perjalanan.

“Kalau hendak ke LRT pun susah, sudah tentu ramai akan terus memilih menggunakan kereta,” katanya yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor.

Selain itu, Dr Zamri berkata, isu laluan pejalan kaki yang tidak lengkap berhampiran beberapa stesen LRT3 juga perlu diberi perhatian selepas tular di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat pengguna terpaksa berjalan di bahu jalan, melintas jalan yang sibuk serta menggunakan laluan tidak berbumbung untuk menuju ke stesen.

“Perkara ini mungkin kelihatan kecil, tetapi bagi warga emas, pelajar, orang kurang upaya dan ibu bapa yang membawa anak kecil, inilah faktor yang menentukan sama ada mereka selesa menggunakan pengangkutan awam ataupun tidak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri meneliti isu berkenaan secara menyeluruh supaya pelaburan besar dalam sistem pengangkutan awam memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Perbaiki laluan pejalan kaki, tambah liputan bas pengantara dan selesaikan masalah akses ke stesen supaya lebih ramai rakyat memilih pengangkutan awam.

“Itulah yang akan menentukan sama ada LRT3 benar-benar berjaya mengurangkan kesesakan jalan raya di Shah Alam dan Klang,” katanya.

Laluan Shah Alam yang sebelum ini dikenali sebagai LRT3 memulakan operasi sepenuhnya pada 29 Jun lalu di mana jajaran sepanjang 37.8 kilometer itu menghubungkan Bandar Utama hingga Johan Setia merentasi Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Sempena pembukaannya, orang ramai menikmati perkhidmatan percuma sehingga 31 Julai. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -