
SIMPANG RENGGAM: Dewan Muslimat PAS Simpang Renggam merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Zaiton Hashim, 64 yang meninggal dunia pada Sabtu baru-baru akibat kemalangan jalan raya di Kilometer 30.5 Jalan Renggam-Simpang Renggam.
Dalam kenyataan itu, Dewan Muslimat PAS Simpang Renggam memaklumkan, suami Allahyarhamah, Kamarulzaman Ibrahim, 68 turut cedera dalam kemalangan berkenaan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala dosa, menerima segala amal kebajikan beliau, dan menempatkan roh Allahyarhamah dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu.
Dewan Muslimat PAS Simpang Renggam turut mengajak orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarhamah serta mengirimkan bacaan al-Fatihah.
Terdahulu, media tempatan melaporkan, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang ketika pasangan itu dipercayai dalam perjalanan pulang selepas mengundi.
Siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki pasangan berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Vellfire, menyebabkan wanita itu maut di tempat kejadian manakala suaminya serta pemandu MPV cedera. – HARAKAHDAILY 13/7/2026











