
KUALA TERENGGANU: Pelbagai program dan inisiatif yang dirangka menerusi Bajet Terengganu 2026 bagi meningkatkan keupayaan rakyat dalam bidang keusahawanan dan pekerjaan sedang dilaksanakan mengikut perancangan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata demikian dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, hari ini.
Menurutnya, sehingga Mei lalu beberapa inisiatif utama telah mencapai kemajuan memberangsangkan termasuk pembangunan sistem data usahawan, program bimbingan serta pemerkasaan industri halal.
Katanya, antara pencapaian utama ialah pembangunan i-SUTRA yang telah siap dan kini digunakan sebagai pangkalan data bersepadu usahawan negeri bagi memudahkan perancangan program yang lebih tersusun dan bersasar.
“Kerajaan negeri juga telah menubuhkan Majlis Halal Terengganu secara rasmi pada 28 Januari lalu bagi menyelaras pembangunan industri halal serta memperluaskan peluang ekonomi kepada usahawan tempatan.
“Dalam masa sama, Program Usahawan Belia Sejahtera sedang berjalan melibatkan 40 peserta asnaf MAIDAM dengan sokongan pembiayaan sebanyak RM420,480 daripada Maybank Islamic,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (PAS-Kemasik) pada persidangan di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Saiful bertanya mengenai kemajuan perlaksanaan program dan aktiviti yang telah dirancang dalam Bajet 2026 sehingga kini khususnya untuk perkara berkaitan meningkatkan keupayaan rakyat Negeri Terengganu termasuk peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Menurut beliau, TikTok Studio Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) yang sedang disiapkan dijangka mula beroperasi pada Julai ini sekali gus membuka ruang kepada usahawan meningkatkan jualan dan promosi produk menerusi platform digital.
Ariffin berkata, Program Sijil Anak Terengganu (ATC) turut diperkukuhkan melalui penambahbaikan syarat pendaftaran bagi membolehkan lebih ramai kontraktor dan vendor tempatan menyertai rantaian industri PETRONAS.
Katanya, Program SAPOT pula telah memberi manfaat kepada lima usahawan terpilih menerusi kerjasama bersama pempengaruh digital bagi memperluaskan capaian pasaran produk mereka. – HARAKAHDAILY 13/7/2026











