Padang ragut di Besut, Setiu lebih 1,400 hektar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Daerah Besut dan Setiu mempunyai sejumlah 34 padang ragut dengan keluasan keseluruhan 1,425.87 hektar bagi menyokong pembangunan industri penternakan serta pengeluaran makanan hijau di Terengganu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, Besut mempunyai 13 padang ragut berkeluasan 253.06 hektar manakala Setiu memiliki 21 padang ragut dengan keluasan 1,172.81 hektar.

Beliau berkata, daripada keluasan keseluruhan di Besut, sebanyak 232.8 hektar atau 92 peratus telah dimajukan, manakala baki 20.26 hektar masih belum dibangunkan.

“Bagi daerah Setiu pula, seluas 761.37 hektar atau 65 peratus daripada kawasan padang ragut telah dimajukan, sementara 411.44 hektar lagi belum dibangunkan.

“Sebahagian kawasan ini dibangunkan sebagai padang ragut rakyat dan sebahagiannya dipajakkan kepada pengusaha ternakan. Kesemua kawasan berkenaan berfungsi sebagai lokasi penternakan serta pengeluaran makanan hijau sama ada dalam bentuk segar atau diproses,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Riduan Mohamad Nor (PAS-Jerteh) mengenai jumlah padang ragut ternakan di Besut dan Setiu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Terengganu mempunyai 90 padang ragut dengan keluasan keseluruhan 5,964.11 hektar.

Katanya, daripada jumlah itu, kawasan seluas 1,982.36 hektar atau 33.24 peratus telah dimajukan manakala 3,981.75 hektar lagi masih belum dibangunkan.

Mengulas lanjut beliau berkata, antara padang ragut utama di Besut ialah di Segading yang berkeluasan 79.25 hektar, dengan 78.72 hektar telah dimajukan, selain kawasan Padang Baloh yang menempatkan 89 penternak dengan 493 ekor lembu dan 233 ekor kambing.

Katanya, kawasan Gong Keruing, Tok Has/Gong Penaga, Gong Melor dan Kuala Belawang turut dimanfaatkan sebagai padang ragut rakyat yang menyokong aktiviti penternakan lembu dan kambing di daerah itu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, individu atau syarikat yang berminat mengusahakan kawasan padang ragut di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu boleh mengemukakan kertas cadangan projek kepada jabatan berkenaan untuk pertimbangan.

“Permohonan tersebut akan ditimbang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Negeri Terengganu yang diadakan secara berkala,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -