‘Kita harap UmDAP sedar, insaf dan faham’ – Tuan Guru

- Advertisement -

SEREMBAN: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sedang mengatur kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dengan pendekatan berbeza berbanding Johor, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

- Advertisement -

Beliau menjelaskan, perbincangan mengenai kerjasama itu masih berjalan dan berharap pihak dalam Umno yang bersama DAP dapat memahami kepentingan usaha menyelamatkan kuasa politik Melayu Islam.

“Negeri Sembilan keadaan lebih bahaya. Kita sedang mengatur kerjasama, masih dalam perbincangan. Kita harap mereka yang UmDAP tu sedar dan insaf, faham. Tinggallah UmDAP tu. Mari kerjasama. 

“Kita harap, kita berkiralah. Bukan nak berlawan, nak selamatkan kuasa Melayu-Islam. Ini yang penting,” ujar beliau dalam majlis Makan Malam Perdana di Casa Lagenda Convention Center Seremban, di sini malam tadi.

Tuan Guru berkata, pendekatan menghadapi PRN Negeri Sembilan akan dibuat berbeza berbanding Johor kerana keadaan politik kedua-dua negeri tidak sama.

“Apa keputusannya, kita akan buat masuk pilihan raya insya-Allah. Sekarang kita sedang berusaha Negeri Sembilan dengan pendekatan yang agak lain daripada Johor kerana suasana lain. (Pendekatan) Ini macam mana?

“Tunggu pilihan raya kita buat. Apa yang penting ialah kita kena berjihad mempertahankan Islam termasuklah jihad tenaga dan jihad harta benda,” jelasnya.

Adat Negeri Sembilan bersendikan syarak

Tuan Guru menyatakan, matlamat PAS di Negeri Sembilan adalah untuk mempertahankan Islam serta memastikan kuasa politik negeri itu diterajui orang Melayu-Islam.

Beliau merujuk kepada prinsip adat Negeri Sembilan yang berteraskan ‘adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah’ sebagai asas yang meletakkan kitab Allah pada kedudukan tertinggi.

“Saya tengok slogannya. Slogan dia apa? ‘Nismilan Kita Jago’. ‘Nismilan’ ni bahasa Negeri Sembilan. ‘Kita jago’ ni bahasa Kelantan. Oh ada bau-bau Kelantan sikit dah. 

“Saya tengok intisari adat Negeri Sembilan ni, ‘adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah’. Saya baca juga (adat Negeri Sembilan). Menandakan (Negeri Sembilan) menetapkan kitab Allah adalah tertinggi.

“Negeri Sembilan ini adatnya, ‘Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah’. Kitab Allah paling tinggi,” ceritanya.

Bagaimanapun, beliau menyatakan perubahan berlaku selepas kedatangan penjajah Barat apabila undang-undang manusia diletakkan mengatasi kitab Allah.

“Malangnya bila orang putih mari, orang putih letakkan kitab Allah di belakang. Undang-undang manusia di depan. Ini masalah kita hadapi,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tuan Guru menyeru supaya usaha dilakukan bagi membawa orang Melayu kembali kepada Islam dengan langkah awal memastikan kuasa politik Negeri Sembilan berada pada orang Melayu yang mendukung Islam.

“Bukan Melayu yang ‘loose’ (longgar pegangan). Melayu yang ‘loose’, skru yang ‘loose’. Jangan. PH yang ‘loose’ ni. Kena tolak PH. Kita nak ajak Umno yang tak UmDAP ni. Biar bincang sama-sama untuk kuasai Negeri Sembilan,” serunya.

PAS tidak berebut jawatan Menteri Besar

Tuan Guru menegaskan, PAS tidak berebut untuk mendapatkan jawatan Menteri Besar sebaliknya perkara itu boleh ditentukan mengikut keadaan.

“Orang PAS tak berebut nak jadi Menteri Besar. Ambillah Umno nak jadi Menteri Besar pun. (Di) Johor ambillah Umno jadi Menteri Besar. Yang pentingnya Islam dia selamat. 

“Siapa jadi Menteri Besar? Itu mengikut keadaan. Tapi biasalah orang PAS ikut keadaan, tak berebut. Yang penting selamatkan Negeri Sembilan dulu,” serunya lagi.

Beliau turut mengingatkan supaya semua pihak menjaga perpaduan dalam menghadapi pilihan raya.

“Pilihan raya ni kerja baik-baik, jaga perpaduan kita. Jaga baik-baik,” tambah mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.

DAP sentuh isu agama dan institusi raja

Dalam perkembangan sama, Tuan Guru menyatakan kebimbangan terhadap tindakan DAP yang menyentuh beberapa perkara berkaitan kepentingan Melayu-Islam.

“DAP ni melampau. Dia menang sedikit, dia kuasai Kerajaan Pusat, dia sentuh agama Islam, dia sentuh Raja-raja Melayu, dia sentuh bahasa kebangsaan,” tempelaknya.

Beliau turut mengulas mengenai cadangan pilihan raya tempatan yang pernah dimasukkan dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Menurut beliau, pilihan raya bandaran pernah dibatalkan pada tahun 1960 kerana penyusunan masyarakat yang dibuat oleh British.

“British sengaja letak orang Cina di bandar, orang India di estet, orang Melayu tinggal di kawasan pedalaman.

“Cina menguasai bandar. Orang India estet. Melayu kawasan pedalaman. (Ini menyebabkan orang) Melayu dengan India miskin kawasan pedalaman,” dedahnya.

Beliau menyatakan keadaan itu boleh memberi kesan terhadap penguasaan kawasan bandar sekiranya pilihan raya tempatan dilaksanakan.

“Kalau buat pilihan raya maka diperintah oleh Cina. Semua bandar-bandar DAP takluk juga. Dengan ekstrem dia (DAP), sifat dia (DAP) begitu, menimbulkan ketegangan kaum balik Melayu, Cina, India,” tempelak Tuan Guru.

Tuan Guru menjelaskan, isu pilihan raya tempatan itu antara perkara yang menyebabkan PAS meninggalkan pakatan terdahulu.

“Orang putih memang ini rancangan dia nak adu domba. Dengan sebab itulah kita batalkan. 

“Bila PKR, DAP nak buat pilihan raya ni masuk dalam manifesto, PAS tak setuju, dia masuk manifesto juga. Maka PAS keluar dari Pakatan Rakyat,” imbas Tuan Guru.

Bila Islam dalam bahaya, jihad jadi fardhu ain

Tuan Guru menjelaskan, pendirian PAS adalah untuk mengekalkan kuasa politik Melayu Islam dalam memimpin masyarakat majmuk.

Menurut beliau, pendekatan itu mengambil contoh penyatuan masyarakat oleh Nabi Muhammad SAW yang menyatukan Muhajirin, Ansar, Aus dan Khazraj.

“Kemudian mengajak bukan Islam, Yahudi, Kristian, penyembah berhala yang tidak ekstrem bergabung dalam negara yang adil untuk semua. Ini yang kita nak laksanakan,” jelas Tuan Guru.

Beliau turut menegaskan bahawa mempertahankan Islam dalam keadaan tertentu menjadi tanggungjawab individu yang mempunyai kemampuan.

“Ini jadi fardu ain bukan fardu kifayah dalam suasana ini. Kita orang Melayu fardu kifayah ni sembahyang jenazah saja, tak lebih pada tu.

“Dalam Islam ni termasuklah kuasa mempertahankan Islam. Bila dalam keadaan yang bahaya dia (menjadi) fardu ain (atas tiap orang Islam), orang yang boleh mengundi fardu ain pada dia.

“Kalau ustaz nak cabar saya cabarlah. Baca kitab-kitab fiqah. Kitab jawi pun ada mengatakan, baca kitab jawi. Bila Islam dalam keadaan bahaya, jihad jadi fardu ain. Kitab jawi pun ada sebut,” jelas Tuan Guru.

Tuan Guru berkata, masyarakat perlu memahami ilmu Islam secara menyeluruh dan tidak hanya mempelajari aspek tertentu.

“Malangnya kita mengaji ilmu tak faham ilmu Islam itu. Itu jadi masalah,” ujarnya.

Beliau berharap Negeri Sembilan dapat dipertahankan sebagai negeri Islam yang berjaya dengan izin Allah.

“Insya-Allah Negeri Sembilan selamat, negeri Islam berjaya kita selamatkan dengan izin Allah Taala,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -