‘Kita kena bersedia untuk jadi kerajaan’ – Dr Halim Tamuri

Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri
- Advertisement -

KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) Pahang perlu membina mentaliti sebagai kerajaan dan membuat persediaan menyeluruh bermula daripada kekuatan cawangan, gerak kerja kebajikan serta penguasaan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, cabaran besar yang perlu dipikul seluruh jentera ketika ini ialah mencari jalan mencapai kemenangan dan bersedia mengambil alih pentadbiran negeri.

“Bukan mudah untuk mencapai kemenangan. Sebab itu kita kena bersedia untuk menjadi kerajaan. Jangan apabila sudah menjadi kerajaan, mentaliti kita masih seperti pembangkang.

“Kita kena tawarkan diri untuk menjadi kerajaan, bermula daripada cawangan, kawasan sehingga ke negeri dengan melaksanakan gerak kerja yang tersusun rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Indera Mahkota Kali Ke-23 di Balok, dekat sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras itu turut menegaskan penguasaan media sosial dan AI bakal memainkan peranan penting dalam pilihan raya akan datang.

Ini, tambahnya apabila pengundi semakin cenderung mendapatkan maklumat mengenai calon menerusi platform digital sebelum membuat pilihan.

Justeru katanya, profil, khidmat dan gerak kerja calon perlu direkod serta diperkasakan dalam ruang digital, selain menyediakan kandungan yang mampu mendekati masyarakat pelbagai kaum.

Beliau turut menyeru agar Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) diperkasakan, khususnya di kawasan bandar bagi memberi kefahaman lebih jelas kepada masyarakat bukan Islam mengenai perjuangan PAS.

Konsep ‘PAS For All’, katanya, perlu diterjemahkan melalui khidmat dan kebajikan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan bukan sekadar menjadi slogan.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota, Dato’ Andansura Rabu berkata, persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu memberi tumpuan kepada misi 3-0, iaitu menawan DUN Semambu serta mempertahankan Parlimen Indera Mahkota dan DUN Beserah.

“Misi 3-0 ini perlu direalisasikan dan PRU16 adalah masa yang baik, bertepatan dengan hasrat PAS Teraju Pahang. Kita perlukan semua terlibat kerana kebersamaan itulah yang menjadi punca kekuatan kita.

“Pelbagai gerak kerja dan perancangan telah dirangka, namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang tersusun di peringkat Unit Daerah Mengundi (UDM) dan cawangan serta komitmen seluruh jentera,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri. – HARAKAHDAILY 13/7/2026

- Advertisement -