‘Tak mahu jadi macam Palestin, Arab tak endah politik’

Politik lebih utama berbanding ibadah Haji dan Umrah

- Advertisement -

MUAR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan kepentingan memastikan kuasa politik orang Islam mendominasi pemerintahan; menjadi asas kepada pendirian parti itu dalam menjalinkan kerjasama politik.

Beliau menjelaskan, Islam melarang umatnya bekerjasama dengan pihak bukan Islam yang ekstrem, bermusuh dengan orang Islam serta mempunyai tujuan menguasai politik.

- Advertisement -

“Allah melarang kamu bekerjasama dengan bukan Islam yang ekstrem yang bermusuh dengan kamu, yang bertujuan nak menguasai politik kamu. Ini tak boleh. Tak boleh,” ujar Tuan Guru memetik surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian dalam Grand Finale PERIKATAN NASIONAL Pilihan Raya Umum Negeri Johor ke-16 di Laman Muafakat, di sini malam tadi.

Menurut Tuan Guru, umat Islam tidak seharusnya mengabaikan politik sehingga menyebabkan kehilangan kuasa pemerintahan seperti yang berlaku di beberapa tempat.

“Kita tak mahu jadi macam Palestin. Orang Arab tak endah politik. Orang Yahudi endah politik. (Orang Arab) Jual tanah (di Palestin kepada orang Yahudi). Orang Yahudi masuk (ke Palestin) ramai-ramai.

“Ini berlaku di negara Arab. Akhirnya Yahudi ramai kuasai tanah (di Palestin), isytihar negara dia (Israel). Orang Melayu (pula) tak endah politik,” tegur Tuan Guru.

Tuan Guru berkata, kepentingan orang Islam mendominasi kuasa pemerintahan turut menjadi pertimbangan PAS dalam melihat kedudukan politik di Johor.

“Oleh kerana pentingnya orang Islam mesti mendominasi kuasa pemerintahan. Dengan sebab itulah kita mengambil kira (kerajaan) negeri Johor ini (mestilah dipimpin oleh orang) Melayu-Islam. Mestilah Melayu-Islam yang memerintah, yang mendominasi,” tegasnya.

Jelas beliau, perkara itu menjadi antara sebab PAS boleh bekerjasama dengan Umno bagi memastikan dominasi kuasa politik orang Islam di Johor.

Mengulas pendirian menolak Pakatan Harapan (PH), Tuan Guru menyatakan, perkara itu berkaitan kewujudan beberapa parti dalam gabungan berkenaan.

“Mengapa kita tolak PH? Dalam PH ada DAP, ada PKR, ada PAN,” jelas mantan Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu.

Beliau turut memetik Surah al-Mumtahanah ayat 8 hingga 9, dengan menjelaskan Allah tidak melarang umat Islam berbuat baik dan berlaku adil kepada golongan bukan Islam yang tidak memerangi mereka.

“Allah Taala tidak melarang kamu berbuat baik bersama dengan orang bukan Islam yang tidak memerangi kamu, tak bermusuh dengan kamu bahawa kamu berlaku adil kepada mereka semua. Allah suka yang adil,” terang Tuan Guru.

Politik lebih utama berbanding ibadah Haji dan Umrah

Dalam perkembangan sama, Tuan Guru melahirkan kebimbangan terhadap kadar penyertaan pengundi Melayu dalam pilihan raya berbanding usaha pihak lain menggerakkan pengundi mereka.

“Saya risau saya baca dalam media NGO (badan bukan kerajaan) Cina, 134 NGO Cina mengerahkan orang Cina balik mengundi. Kita orang Melayu banyak tak keluar mengundi. Pasal apa?

“(Mereka kata dalam Islam) Ini bukan politik. (Sebab) Sudah (boleh) pergi masjid boleh buat umrah, pergi haji,” tempelak Tuan Guru.

Beliau kemudian mengaitkan perkara itu dengan sejarah Nabi Muhammad SAW yang mengutamakan kepentingan politik sebelum ibadah haji dan umrah melalui Perjanjian Hudaibiyah.

“Tahu ke Nabi mengutamakan kuasa politik sebelum haji dan umrah? Dalam sejarah Nabi buat perjanjian Hudaibiyah,” cerita Tuan Guru.

Menurut mantan Menteri Besar Terengganu itu, perjanjian damai itu dibuat bersama pihak bukan-Islam di Makkah walaupun syaratnya berat sebelah terhadap umat Islam.

“Nabi mengutamakan perjanjian Hudaibiyah kerana perjanjian ini memberi kemenangan politik. Politik maknanya bila pemimpin Makkah bukan-Islam menerima perjanjian, dia iktiraf Madinah sebuah negara yang sah dari segi politik,” jelasnya.

Beliau turut menghuraikan bahawa Nabi Muhammad SAW menangguhkan pelaksanaan umrah sehingga tahun berikutnya selepas perjanjian berkenaan dimeterai.

Tuan Guru menegaskan, Nabi Muhammad SAW hanya menunaikan haji selepas pembebasan Makkah.

“Nabi tak buat haji melainkan setelah Makkah dibebaskan. Fathu Makkah. Makkah dibebaskan baru Nabi buat haji,” ulas Tuan Guru.

Beliau berpandangan, umat Islam tidak seharusnya meninggalkan tanggungjawab mengundi kerana mengutamakan ibadah sunat.

“Kita (pula) tinggal (tanggungjawab) mengundi kerana apa? Buat umrah sunat, bukan umrah wajib. Kalau orang bukan-Islam keluar mengundi, dia menguasai politik. Kita tak keluar mengundi atau undi tak ada sistematik, tak berperaturan, berpecah kuasa politik hilang,” tegurnya.

Tuan Guru menyatakan, PAS mengambil pendekatan Nabi Muhammad SAW dengan mengajak umat Islam bersatu terlebih dahulu sebelum membuka ruang kerjasama bersama pihak bukan-Islam.

“Maka PAS mengambil pendekatan Nabi Muhammad SAW iaitulah mengajak orang Islam saja dulu bersatu. Muhajirin, Ansar, Makkah, Madinah, orang Arab semua kabilah masuk Islam termasuk orang bukan-Islam, masuk Islam disatukan.
 
“Yang kedua, ajak bukan-Islam bersama. Maka orang bukan-Islam yang tidak ekstrem, kabilah Khuzaah, orang Yahudi tak ekstrem, Kristian dalam kesatuan ni. Yang ekstrem terpaksalah dihadapi,” maklumnya.

Kerjasama dengan DAP PKR sebelum ini?

Mengulas hubungan PAS bersama DAP dan PKR sebelum ini, Tuan Guru menjelaskan, kerjasama itu berlaku atas beberapa isu termasuk menentang rasuah, penyelewengan, ISA dan Kerajaan Pusat ketika itu.

Namun, beliau memaklumkan, PAS tidak menerima permintaan supaya perjuangan menegakkan negara Islam disenyapkan.

“Kemudian bila DAP minta PAS senyapkan, ‘silent’ kan perjuangan menegakkan negara Islam ini, jangan sebut. Kita tak boleh terima. Kita mesti beritahu pada orang ramai apa yang kita nak.

“Kita tak boleh bohong pada orang bukan-Islam. Ada kalangan PAS (ketika itu berkata), ‘kita diamlah diam. Jangan sebut apa’. Yang (sebut) ni masuk PAN tu berkawan dengan DAP ini dia ceritanya,” cerita Tuan Guru.
 
Beliau turut menyentuh isu usaha PAS melaksanakan larangan arak dan judi di Kelantan yang mendapat bantahan DAP.

“DAP protes. Padahal Perlembagaan Malaysia mengatakan hukum Islam dikenakan pada orang Islam sahaja. Orang bukan-Islam tak dikenakan (hukum Islam itu),” jelasnya.

Menurut Tuan Guru, campur tangan terhadap perkara itu turut berlaku di Kelantan dan Terengganu.

“Dia (DAP) campur tangan juga di Kelantan campur tangan di Terengganu. Ini berlaku. ada orang kita yang tak faham. Adalah lama-lama ada yang faham, ada yang berubah boleh faham. Ini hak yang berbeza.
 
“Oleh kerana degil DAP, ekstrem dalam perlembagaan dia sekularisme. Sekularisme memisahkan politik daripada agama terang dalam Perlembagaan DAP. Islam tak ada kuasa dalam politik. Tak ada. 

“Dengan sebab itu Perlembagaan (negara Malaysia) kita (berada dalam keadaan) bahaya. Kalau DAP menang, dia (DAP) ikut perlembagaan (sekularisme) dia,” katanya.

Dalam masa sama, Tuan Guru turut menyentuh mengenai PKR yang disifatkannya membawa pendekatan Islam pragmatik dan tidak konsisten.

“PKR ini Islam juga. Islam pragmatik. Islam sekularisme pragmatik. Islam ada. Islam yang boleh berubah-rubah, tak istiqamah, tak konsisten. 

“Bila (Donald) Trump datang (Malaysia), dia (Presiden PKR) menari dengan Trump. Bila mari majlis berzanji, dia berzanji sama, pergi masjid tunjuk baca doa. Jumpa orang ni lain pula, tak konsisten. Ini sebab tu kita berpisah (dengan DAP dan PKR),” katanya. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -