
MUAR: Bekas pendaki Everest termuda negara, Datuk Muhammad Muqharrabin Mokhtarrudin atau lebih dikenali dengan Qabin, merayu penyokong Umno supaya memberikan sokongan kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, sokongan khususnya kepada calon PAS di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi gabungan itu penting bagi memperkukuhkan fungsi semak dan imbang di DUN Johor di samping membuka ruang kepada Penyatuan Ummah.
“Kita sendiri telah cakap, di kawasan Umno kita undi Umno. Tetapi di kawasan PAS bertanding, kita harap kawan-kawan Umno pula bantu beri kemenangan kepada calon PAS. Saya nampak di DUN PAS bertanding, kebanyakannya mempunyai majoriti memihak kepada PN.
“Jadi seharusnya rakan-rakan dalam Umno memahami situasi di kawasan tersebut dan memberikan peluang kepada calon PN daripada PAS menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri,” ujarnya menyifatkan PAS telah menampilkan calon berwibawa, profesional dan berpotensi membawa suara rakyat.
Beliau berkata yang diumum menyertai PAS pada pertengahan bulan lalu di Seremban, Negeri Sembilan ketika ditemu bual dalam siri podcast Kekal Tenang sempena Edisi Khas PRN Johor.
Muqharrabin berkata, PN turut menyatakan pendirian untuk menyokong calon Umno di kawasan yang tidak ditandingi gabungan itu, justeru beliau berharap penyokong Umno membalas sokongan tersebut di kawasan yang ditandingi PAS.
Beliau berkata, tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) amat penting dalam memastikan pembangunan kawasan berjalan lancar, justeru wakil rakyat yang dipilih perlu mempunyai kepimpinan, tenaga dan komitmen tinggi untuk menyelesaikan masalah rakyat.
Menurutnya, calon yang diketengahkan PAS terdiri daripada golongan profesional dan teknokrat yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Saya lihat PAS telah menampilkan beberapa tokoh hebat. Sebahagian besar daripada 11 calon itu mempunyai potensi untuk menang di Johor,” ujarnya.
Mengulas perkembangan kempen PRN Johor, beliau berpandangan persaingan sebenar hanya melibatkan Barisan Nasional dan PERIKATAN NASIONAL, manakala Pakatan Harapan lebih bergantung kepada kawasan majoriti pengundi Cina.
Dalam masa sama, beliau mengkritik pendekatan kempen Pakatan Harapan yang menurutnya masih memainkan naratif ‘green wave ‘ bagi menakut-nakutkan pengundi bukan-Melayu.
“Pada saya, kempen menakut-nakutkan oleh Pakatan Harapan terhadap pengundi di Johor ini agak kelakar. Sepatutnya apabila berada dalam kerajaan, mereka ceritakan apa yang telah mereka lakukan, bukannya membawa naratif seperti pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, PAS merupakan wadah perjuangan yang membawa mesej keamanan serta memberi ruang kepada semua kaum dan agama untuk hidup dalam suasana harmoni.
Muqharrabin turut menyentuh isu kos sara hidup yang menjadi kebimbangan rakyat, termasuk kenaikan harga minyak di mana menurutnya antara rungutan utama masyarakat ketika ini.
Beliau berharap PRN Johor menjadi titik permulaan kepada Penyatuan Ummah yang lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Katanya, kemenangan calon PERIKATAN NASIONAL di kerusi yang ditandingi mampu menjadi isyarat bahawa kerjasama antara parti Melayu boleh diperkukuhkan pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menyeru golongan muda khususnya anak Johor supaya keluar mengundi dan tidak mensia siakan hak sebagai pengundi.
“Saya sendiri dulu tidak pernah mengundi. Itu kelemahan saya. Selepas itu baru saya sedar mengundi ini penting.
“Walaupun terpaksa beratur lama, satu undi tetap penting kerana kita memilih pemimpin yang berkualiti, bertanggungjawab dan mampu menjaga kawasan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat perlu memilih wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat, mempunyai keupayaan, pendidikan serta amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. – HARAKAHDAILY 9/7/2026











