Penswastaan tanah perkuburan Islam dibantah REACH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Sumber untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) membantah sebarang dasar atau pendekatan yang boleh membawa kepada penswastaan pengurusan tanah perkuburan Islam.

Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ini kerana dikhuatiri mewujudkan sistem dua darjat dalam urusan pengebumian berdasarkan kemampuan kewangan.

- Advertisement -

“Kebimbangan utama ialah apabila unsur komersial mula menentukan mutu dan tahap perkhidmatan diterima sehingga golongan berkemampuan memperoleh layanan lebih baik berbanding mereka yang kurang mampu,” ujarnya.

Menurut beliau, REACH tidak mempertikaikan keperluan membuka tanah perkuburan baharu bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Sebaliknya, penyediaan tanah perkuburan yang mencukupi merupakan tanggungjawab kerajaan yang perlu diberi keutamaan bagi memastikan keperluan rakyat terus terpelihara.

“Golongan yang mampu mungkin memperoleh urusan pengebumian yang lebih cepat, lokasi perkuburan yang lebih hampir atau lebih strategik serta pelbagai kemudahan tambahan kerana mampu membayar lebih.

“Sebaliknya, mereka yang kurang berkemampuan mungkin terpaksa menerima pilihan yang lebih terhad atau lokasi yang lebih jauh,” katanya dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily, hari ini.

Beliau berkata, keadaan sedemikian tidak pernah menjadi amalan dalam masyarakat Islam di negara ini kerana sejak dahulu urusan pengebumian dilaksanakan berasaskan prinsip persamaan, kebajikan dan tanggungjawab bersama tanpa membezakan kedudukan ekonomi si mati atau waris.

Tambah beliau, dalam Islam, semua manusia adalah sama di sisi Allah SWT dan hanya dibezakan oleh ketakwaan, bukannya harta benda.

“Justeru, tidak wajar kekayaan seseorang menentukan kualiti, keutamaan atau layanan yang diterima dalam urusan pengkebumiannya.

“Maruah seseorang selepas meninggal dunia tidak boleh dinilai berdasarkan kemampuan membayar,” tegasnya.

Sehubungan itu, REACH berpandangan tanah perkuburan Islam hendaklah terus dikekalkan sebagai kemudahan awam yang berteraskan kebajikan, kesaksamaan dan khidmat kepada masyarakat, bukannya dijadikan sektor berorientasikan keuntungan.

Beliau turut menggesa kerajaan memberikan jaminan bahawa tidak akan wujud perkhidmatan premium atau layanan berbeza yang bergantung kepada kemampuan kewangan sehingga akhirnya melahirkan budaya ‘kubur kaya’ dan ‘kubur miskin’.

“Masyarakat yang benar-benar adil bukan sahaja memastikan semua orang mempunyai peluang yang saksama ketika hidup, malah menjamin setiap insan diberikan penghormatan dan layanan yang sama apabila kembali ke Rahmatullah,” katanya.

Kenyataan REACH itu hadir susulan kebimbangan yang turut disuarakan PAS Wilayah Persekutuan berhubung pelaksanaan Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP).

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya sebelum ini mengingatkan kerajaan supaya tidak membenarkan unsur kapitalisme mencengkam sehingga melibatkan urusan pengebumian umat Islam.

Beliau berkata, pihaknya mengiktiraf keperluan mendesak untuk menyediakan tanah perkuburan Islam baharu berikutan kapasiti sedia ada yang semakin terhad.

Bagaimanapun, tegasnya, pelaksanaan projek melalui model PPP itu menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijelaskan secara telus kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -