Mazlan ikrar ambil tindakan luahan peniaga, warga emas

- Advertisement -

SEMBRONG: Bersua muka dan mendengar perkara disuarakan penduduk menjadi perhatian tinggi yang diberikan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Kahang, Mazlan Bujang.

Menurut beliau, setiap pertemuan bersama masyarakat membuka ruang untuk memahami realiti kehidupan rakyat, khususnya peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian sebagai sumber pendapatan.

- Advertisement -

Setiap gerai disinggahi, Mazlan memulakan perbualan dengan bertanyakan keadaan jualan harian, sebelum mendengar sendiri rutin para peniaga yang bermula seawal pagi menyediakan bahan jualan sehingga lewat petang demi mencari rezeki untuk keluarga.

“Saya hanya mendengar. Dalam beberapa minit berbual itu, saya teringat bahawa di sebalik setiap gerai yang kita lihat, ada sebuah perjuangan yang jarang diceritakan.

“Ada pengorbanan, ada penat lelah dan ada harapan supaya esok rezeki menjadi lebih baik daripada hari ini,” katanya yang mengambil kesempatan itu sempena kempen Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Johor.

Beliau berkata, pengalaman itu menguatkan keyakinannya bahawa setiap aduan, pandangan dan cadangan diterima itu bukan sekadar luahan masyarakat, sebaliknya amanah perlu diterjemahkan kepada dasar serta tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, peniaga kecil memerlukan persekitaran ekonomi yang lebih kondusif supaya mereka dapat terus menjana pendapatan tanpa dibebani pelbagai tekanan kos.

Selain menyantuni peniaga, Mazlan turut meluangkan masa duduk semeja bersama beberapa warga emas bagi mendengar sendiri pandangan dan pengalaman mereka membangunkan Kahang sejak dahulu.

“Orang lama selalu pesan, kalau hendak kenal sesuatu tempat, dengarlah cerita daripada orang yang membesarkannya. Sebab itu saya memang suka apabila ada peluang duduk semeja dan berbual dengan warga emas.

“Tidak ada ucapan rasmi atau protokol, cuma secawan minuman, senyuman dan cerita hidup yang penuh pengalaman,” ujar beliau.

Katanya, pengalaman serta pandangan warga emas merupakan khazanah yang amat berharga dan wajar dimanfaatkan dalam merancang pembangunan serta kebajikan masyarakat pada masa hadapan.

Tambahnya, kebajikan warga emas juga perlu terus diberi perhatian menerusi penyediaan kemudahan yang lebih mesra, selain memastikan suara mereka terus didengari dalam setiap perancangan pembangunan kawasan.

“Bagi saya, setiap kata daripada mereka amat berharga kerana pengalaman yang mereka lalui boleh menjadi panduan untuk kita membina masa depan yang lebih baik.

“Apa yang saya dengar di lapangan bukan sekadar catatan kempen, tetapi amanah yang perlu diperjuangkan,” katanya.

Mazlan turut merakamkan penghargaan kepada para peniaga dan warga emas yang sudi berkongsi pandangan, pengalaman serta mendoakan kejayaan beliau sepanjang kempen.

Beliau berharap pendekatan turun padang dan mendengar sendiri denyut nadi rakyat dapat diteruskan agar setiap dasar yang diperjuangkan benar benar berpaksikan keperluan penduduk Kahang. – HARAKAHDAILY 9/7/2026

- Advertisement -