
TENGGARA: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) N.35 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Yuhanita Yunan berpendirian bahawa pelbagai masalah dihadapi penduduk selama ini memerlukan suara yang berani membawa isu berkaitan ke platform pembuat dasar.
Tegas beliau, masalah-masalah seperti kekurangan kemudahan asas termasuk mesin pengeluaran wang automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan khidmat kesihatan tidak boleh diselesaikan hanya melalui aktiviti kebajikan.
Begitu juga katanya, seperti isu keselamatan pengguna jalan di mana ia perlu dibawa dan diperjuangkan secara konsisten di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan.
Menurutnya, tugas seorang ahli politik bukan sekadar turun padang menyantuni rakyat, sebaliknya memastikan setiap masalah yang menjejaskan kehidupan masyarakat dibawa ke meja kerajaan sehingga mendapat penyelesaian.
“Ramai bertanya mengapa saya memilih untuk masuk politik. Saya selalu bertanya semula, tugas siapa hendak membawa maslahat rakyat ke Dewan Undangan Negeri kalau bukan ahli politik?
“Kebajikan boleh dilakukan tanpa politik. Kita boleh menghulurkan bantuan, hadir kenduri dan beramah mesra dengan penduduk. Semua itu baik dan perlu diteruskan. Tetapi ada perkara yang tidak selesai dengan bantuan semata-mata.
“Masalah berkaitan pendidikan anak-anak, peluang pekerjaan dan kemudahan mobiliti rakyat hanya boleh diselesaikan apabila ada wakil rakyat yang membawanya ke meja yang betul serta memperjuangkannya sehingga selesai,” ujarnya.
Yuhanita yang menetap di Taman Sri Saujana berkata, antara isu yang jelas dirasai penduduk ialah kekurangan kemudahan perbankan di kawasan Pasir Raja.
Menurutnya, ATM terdekat hanya terdapat di sebuah stesen minyak dan sekiranya mesin itu rosak atau tidak beroperasi, penduduk terpaksa ke Bandar Kota Tinggi atau Bandar Tiram hanya untuk mengeluarkan wang tunai.
“Lebih menyukarkan apabila kemudahan CDM langsung tiada. Bagi saya yang mempunyai kenderaan mungkin ia sekadar menyusahkan, tetapi bagi warga emas dan mereka yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri, keadaan ini menjadi satu beban.
“Mungkin ada yang beranggapan semua urusan kini boleh dilakukan secara dalam talian. Namun bagi ibu bapa yang berusia, penerima bantuan atau mereka yang menyediakan wang persekolahan anak-anak setiap pagi, wang tunai masih menjadi keperluan harian.
“Begitu juga peniaga kecil yang perlu memasukkan hasil jualan setiap hari. Mereka memerlukan kemudahan perbankan yang lebih dekat,” katanya.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu lampu jalan tidak berfungsi, jalan berlubang yang masih belum dibaiki serta laluan lori berat di mana menurutnya menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk.
“Lori-lori berat keluar masuk setiap hari sehingga kita bimbang keselamatan anak-anak yang berbasikal ke sekolah dan warga emas yang melintas jalan,” katanya.
Dalam pada itu, Yuhanita berkata, kemudahan kesihatan di Pasir Raja juga perlu diberi perhatian memandangkan penduduk masih bergantung kepada fasiliti kesihatan di Kulai, Bandar Tenggara, Kota Tinggi dan Bandar Tiram.
“Penduduk di sini semakin ramai dan padat, tetapi untuk mendapatkan rawatan mereka masih perlu ke kawasan lain. Urusan harian yang jauh sudah cukup membebankan.
“Jangan sampai urusan melibatkan nyawa juga menjadi begitu, sedangkan tanah yang telah digazetkan untuk pembinaan klinik kesihatan sudah lama tersedia,” katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui tidak semua perkara berada di bawah bidang kuasa seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kerana terdapat isu yang melibatkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya sedar bukan semua perkara berada di bawah kuasa ADUN. Ada yang melibatkan kerajaan negeri dan ada juga di bawah Kerajaan Persekutuan. Tetapi saya pasti isu mobiliti dan kemudahan rakyat Pasir Raja mesti dibawa ke Sidang DUN, dibangkitkan dan didesak sehingga direkodkan.
“Sepanjang saya mengikuti persidangan DUN, saya belum pernah terbaca laporan yang membangkitkan suara Pasir Raja mengenai perkara-perkara ini. Kalau suara itu tidak pernah sampai ke Dewan, bagaimana ia hendak diselesaikan?” katanya.
Beliau menegaskan perkara yang dianggap kecil oleh sesetengah pihak sebenarnya memberi kesan besar kepada kehidupan harian rakyat.
“Semua ini mungkin nampak perkara kecil, tetapi kehidupan rakyat terbina daripada perkara-perkara kecil seperti inilah.
“Saya mahu menjaga Pasir Raja bukan sekadar dengan hadir bertemu rakyat, tetapi membawa setiap isu ke tempat yang sepatutnya dan memperjuangkannya sehingga selesai.
“Terlalu lama kita menerima semua ini sebagai perkara biasa, sedangkan biasa tidak bermakna betul. Sudah tiba masanya kita berubah,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2026











