
MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, PAS konsisten menyeru rakyat ke arah Perpaduan Ummah. Malah dalam PRN Melaka yang bakal menyusul, begitu juga PRU 16, inilah naratif PAS. Naratif ini bukan sekadar wirid politik, tetapi ia adalah perintah Tuhan.
Proses membina masyarakat Madani yang dipanggil ‘perpaduan’ rakyat tidak mudah. Perpaduan tersebut perlulah ada kekuatan, ketahanan, serta kekukuhan dalam apa jua cuaca atau iklim politik. Sekiranya perpaduan ini tidak dijaga dan dirapi, maka ia mudah serpih, pecah dan berkecai. Tambah-tambah pula wujud pihak-pihak yang mengadu-domba atau menghasut supaya kesatuan itu menjadi longgar dan akhirnya terburai.
Firman Allah:
وَاَطِيۡعُوا اللّٰهَ وَرَسُوۡلَهٗ وَلَا تَنَازَعُوۡا فَتَفۡشَلُوۡا وَتَذۡهَبَ رِيۡحُكُمۡ وَاصۡبِرُوۡا ؕ اِنَّ اللّٰهَ مَعَ الصّٰبِرِيۡنَۚ ٤٦
“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)
Sebagai ahli jamaah, fikrah membina Perpaduan Ummah hendaklah bermula dari akal diri ahli sendiri. Ia wajib diikat kemas di dalam hati. Kefahaman ini perlu dihayati serta diterjemah ke dalam rangka hubungan silaturahim kekeluargaan dan ukhuwah Islamiah di dalam jamaah.
Ia tidak noktah di situ, bahkan perpaduan antara jamaah ini pula hendaklah ditambat atas nama Islam supaya kelompok ini kian membesar, membentuk kekuatan dari semua arah termasuklan politik dan ekonomi.
Sirah Nabawiyah telah menunjukkan teladan bagaimana Rasulullah SAW sendiri telah mengusaha dan membentuk perpaduan dalam kalangan Muhajirin, Ansar serta masyarakat bukan Islam berasaskan acuan Islam di Madinah, sejak penghijrahan Baginda SAW ke tanah haram tersebut. Inilah model madani yang realistik, terbentuk dari air tangan Rasulullah SAW dan ia adalah contoh nyata.
Meskipun begitu, ahli parti juga mesti memahami bahawa cabaran membentuk Perpaduan Ummah memerlukan kesabaran serta tekad berpanjangan. Ada yang lihat ia sebagai retorik politik, sandiwara dan tidak kurang pula sindiran.
Dalam hal ini, profesor Hamka merakamkan kisah Sheikh Jamaluddin al-Afghani memerah akal dan tenaga menyeru rakyat Mesir siang malam untuk membebaskan negara itu dari muslihat Inggeris dan Perancis dari penjajahan ekonomi kedua-dua negara tersebut sekitar tahun 1871-1879. Situasi ini menjadi lebih malang apabila Mesir ketika itu diperintah oleh pemerintah yang rakus, Khadive Ismail Pasha (1863-1879) bersifat boros sehingga negara itu terpaksa menanggung hutang luar negeri yang sangat besar.
Ketika inilah Sheikh Jamaluddin menyeru mantera perpaduan dalam kalangan rakyat yang cintakan tanahair untuk bangkit menentang serakah penjajahan ekonomi Inggeris.
Kini, seruan Perpaduan Ummah kembali berkumandang, meriding tatkala menjelang PRN di beberapa buah negeri dan PRU16. Atas nama Islam dan perintah Tuhan, PAS mengajak ummah supaya bersatu baik dalam pelbagai kalangan bangsa demi kestabilan dan kekukuhan politik negara. kefahaman ini mesti ditanam sedalam-dalamnya terutama ke dalam jiwa ahli jamaah.
Walaupun sesetengah pihak nampaknya tertawa dan tidak serius, namun PAS konsisten dengan seruan ini. Dari celah lain akan ada yang berkata, “Apalah PAS ni. Apa untungnya politik yang dibawanya. Masuk bertanding nak jadi pembangkang, bukan kerajaan dalam PRN Johor. Bukan itu saja, tak habis-habis seru perpaduan”. Kata-kata seumpama ini tidak berbekas kepada ahli PAS sebenarnya, malah ia menjadi penyuntik semangat kerja siyasah.
Justeru, membina dan menguatkan ummah memerlukan strategi dan bingkai masa. Realiti Perpaduan Ummah bukan tercipta dalam sehari, tetapi memakan masa berhari-hari. Bak misalan, si atuk menanam pokok durian, manggis, langsat dan duku bukan untuk dimakan buahnya esok, tetapi hasilnya tertuai pada tahun-tahun mendatang, bagi si cucu yang ingin merasai keenakan buah-buahan atuknya. Itulah kenyataan. Maka, itulah naratif perpaduan ummah.
Al-faqir
DR AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 8/7/2026











