Fitnah SJKT? EXCO dituntut mohon maaf kepada PAS

- Advertisement -

SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Selangor menuntut EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Papparaidu Veraman menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka disebabkan memfitnah PAS serta PERIKATAN NASIONAL (PN) berhubung isu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

- Advertisement -

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, pihaknya kesal Papparaidu ketika berkempen di Johor baru-baru ini menuduh PAS dan PN mahu menghapuskan SJKT, selain memfailkan kes di mahkamah bagi meniadakan sekolah berkenaan.

Menurutnya, tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah mengelirukan rakyat serta dilihat sebagai cubaan membina persepsi politik melalui fitnah dan sentimen perkauman.

“Sehingga hari ini, Papparaidu masih gagal mengemukakan sebarang bukti sama ada dalam bentuk kenyataan rasmi, manifesto, resolusi parti atau dasar PERIKATAN NASIONAL yang menunjukkan PAS atau PN mahu menutup atau menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, beliau wajar menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PAS dan PN sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta hak semua rakyat Malaysia.

Menurutnya, Fasal 28 Akta Pendidikan 1996 memperuntukkan Sekolah Jenis Kebangsaan sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

Oleh itu ujarnya, sebarang perbahasan mengenai penambahbaikan sistem pendidikan tidak sepatutnya dimanipulasi sehingga menimbulkan persepsi bahawa PAS menolak hak mana-mana kaum.

Beliau berkata, pelbagai cadangan berkaitan penyusunan semula sistem pendidikan termasuk sekolah vernakular pernah dikemukakan oleh pelbagai pihak daripada latar belakang politik yang berbeza.

“Oleh itu, adalah tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan pandangan individu tertentu sebagai pendirian rasmi PAS atau PERIKATAN NASIONAL,” jelasnya.

Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan politik fitnah dan kebencian kaum yang hanya akan mengeruhkan keharmonian masyarakat serta mengganggu kestabilan politik negara.

“Rakyat lebih memerlukan pemimpin yang memberi tumpuan kepada penyelesaian isu kos sara hidup, ekonomi, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat berbanding mencetuskan polemik berasaskan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan,” tegasnya.

Tambah Dr Aubidullah lagi, sekiranya Papparaidu gagal menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka, Dewan Pemuda PAS Selangor tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis berhubung tindakan berkenaan. – HARAKAHDAILY 8/7/2026

- Advertisement -