PMX hipokrit kritik Johor, tapi gagal selesai isu Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim disifatkan bersikap hipokrit apabila mengkritik harga rumah di Johor, sedangkan isu sama dikatakan masih gagal diselesaikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor.

- Advertisement -

Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya menyalahkan pentadbiran negeri lain berhubung isu rumah mampu milik ketika Selangor sendiri masih berdepan masalah penyediaan kediaman yang belum dapat ditangani.

Menurut Naib Ketua Pemuda PAS Selangor itu, data National Property Information Centre (NAPIC) bagi suku pertama 2026 menunjukkan Selangor antara negeri yang merekodkan jumlah kediaman siap dibina tetapi tidak terjual paling tinggi di negara ini.

“Sebanyak 3,745 unit kediaman siap dibina direkodkan masih gagal dijual di Selangor. Keadaan ini menunjukkan masih wujud jurang antara penawaran rumah dengan kemampuan sebenar rakyat untuk memilikinya,” katanya dalam satu kenyataan kepada HarakahDaily.

Beliau berkata, Statistik Rasmi Dewan Negeri Selangor sehingga 31 Januari 2025 menunjukkan sebanyak 254,602 unit Rumah Selangorku telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun katanya, hanya 42,779 unit atau 16.80 peratus berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pembeli, manakala 25,592 unit atau 10.05 peratus masih dalam pembinaan.

“Sebanyak 186,231 unit atau 73.15 peratus lagi masih berada pada peringkat perancangan dan kelulusan teknikal. Ini bermakna majoriti rumah mampu milik yang diumumkan masih belum dapat dinikmati rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, keadaan itu turut menjejaskan peluang golongan muda memiliki rumah pertama apabila laporan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor menunjukkan 55 peratus pemohon rumah mampu milik terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 hingga 29 tahun.

“Ribuan anak muda di Selangor masih menyewa dan terus berdepan kesukaran memiliki rumah sendiri kerana harga kediaman di pasaran terbuka semakin meningkat.

“Dalam masa sama, kerajaan negeri hanya berjaya menyiapkan sekitar 17 peratus daripada Rumah Selangorku yang telah diluluskan,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi PH dilaporkan berkata, harga rumah yang tinggi di Johor berpunca daripada kegagalan Kerajaan Negeri Johor menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Johor yang ditadbir BN perlu memberi keutamaan kepada penyediaan rumah mampu milik serta kebajikan rakyat dan tidak hanya menumpukan agenda pembangunan untuk golongan berpendapatan tinggi.

Sehubungan itu, Muhammad Faizzuddin menggesa Perdana Menteri Ke-10 (PMX) itu memberi keutamaan menyelesaikan isu perumahan di Selangor sebelum mengkritik pentadbiran negeri lain.

“PMX sepatutnya cermin diri sendiri dan menyelesaikan isu kritikal ini melalui Kerajaan PH di Selangor sebelum memasang cita-cita untuk menawan Johor pada Pilihan Raya Negeri kali ini.

“Selangor menjadi bukti jelas kegagalan PH menangani isu harga rumah yang tinggi serta penyediaan rumah mampu milik,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 8/7/2026

- Advertisement -