
Soalan:
Ada hadis menyebut ibu bapalah yang menjadikan anaknya yahudi atau nasrani. Apakah maksud hadis ini?
Jawapan:
Hadis yang dimaksudkan ialah sabda Rasulullah sollallahu alaihi wasallam:
كلُّ مولودٍ يولَدُ على الفطرةِ فأبواه يُهوِّدانِه أو يُنصِّرانِه أو يُمجِّسانِه
Ertinya: “Sekalian anak yang lahir itu atas keadaan suci maka kedua ibu bapanya yang meyahudikannya dan menasranikannya dan memajusikannya.” (Hadis riwayat Muslim)
Maksudnya sekalipun setiap anak yang dilahirkan itu suci dan bersih dari segala kesesatan aqidah dan dari perbuatan dosa tetapi ibu bapanya telah merosakkannya yakni jika dia dipelihara oleh ibu bapa yang kafir maka kedua ibu bapanya itu akan mengajarnya menjadi seorang yang kafir maka apabila dia telah dewasa maka jadilah dia seorang kafir dan jika dia dipelihara oleh ibu bapa yang Islam maka dia akan diajar menjadi seorang Islam maka setelah dia dewasa dia tetap seorang Islam.
Berkata Al-Khattabi:
ومعنى قوله فأبواه يهودانه، يَعني يحسنان له اليهودية والنصرانية والمجوسية ويحملانه إلى بيوت عبادتهم
Ertinya: “Dan makna kedua ibu bapanya meyahudikannya yakni mengajar anak itu jalan hidup yahudi dan nasrani dan majusi dan membawa anaknya itu ke tempat ibadat mereka itu.” (Kitab Ma’alim As-Sunan)
Berkata Imam Badaruddin Al-‘Aini:
قَوْله: (فَأَبَوَاهُ يهوِّدانه أَو ينصرَانِهِ أَو يُمَجِّسَانِهِ} مَعْنَاهُ: أَنَّهُمَا يعلمَانِهِ مَا هُوَ عَلَيْهِ ويصرفانه عَن الْفطْرَة، وَيحْتَمل أَن يكون المُرَاد يرغبانه فِي ذَلِك، أَو أَن كَونه تبعا لَهما فِي الدّين بولادته على فراشهما يُوجب أَن يكون حكمه حكمهمَا. وَقيل: معنى: يُهَوِّدَانِهِ، يحكم لَهُ بحكمهما فِي الدُّنْيَا، فَإِن سبقت لَهُ السَّعَادَة أسلم إِذا بلغ وإلاَّ مَاتَ على كفره، وَإِن مَاتَ قبل بُلُوغه فَالصَّحِيح أَنه من أهل الْجنَّة
Ertinya: “Sabdanya maka kedua ibu bapanya yang meyahudikannya dan menasranikannya dan memajusikannya, maknanya sungguhnya kedua ibu bapa kanak-kanak itu akan mengajarnya perkara yang mereka inginkan dan memalingkan anak itu daripada kebenaran. Dan ditanggungkan maknanya ibu bapanya menggemarkannya kepada jalan mereka atau anak itu akan mengikut agama ibu bapa mereka kerana mereka yang melahirkannya dan membesar ia di dalam rumah keduanya maka lazimlah anak itu mengikut kehendak keduanya. Dan kata setengah ulamak maknanya dihukumkan anak itu dengan hukum kedua ibu bapanya. Maka jika telah ditentukan anak itu orang yang bahagia maka dia akan menjadi Islam apabila dia telah dewasa dan jika tidak yakni telah ditentukan sebagai orang yang kafir nescaya mati ia di atas agama kafir. Maka jika dia mati sebelum dewasanya maka dia adalah ahli syurga menurut pendapat yang sahih.” (Kitab Umdah Al-Qari)
Maka anak-anak orang Islam sekalipun jika dibiarkan tanpa dididik oleh ibu bapanya kepada jalan syariat yang benar nescaya terumbang-ambing kepercayaannya dan lintang pukang amalannya sehingga tidak mustahil dia tidak mengenal Tuhannya dan jahil dengan sunnah Nabinya dan tiada melakukannya akan segala kewajipan atas dirinya dan melanggar olehnya segala larangan syarak.
Ramai ibu bapa yang mengaku Islam pada zaman ini tetapi tidak diajarnya akan anak-anak mengenal Allah dan hidup mengikut garis panduan syarak sehingga dapat kita lihat ramainya yang Islam mereka hanya pada nama sahaja sedangkan hidupnya dan kelakuannya dan percakapannya dan fikirannya saling tidak tumpah seperti seorang kafir.
Berkata Imam Nawawi:
وَقِيلَ مَعْنَاهُ كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى مَعْرِفَةِ اللَّهِ تَعَالَى وَالْإِقْرَارِ بِهِ فَلَيْسَ أَحَدٌ يُولَدُ إِلَّا وَهُوَ يُقِرُّ بِأَنَّ لَهُ صَانِعًا وَإِنْ سَمَّاهُ بِغَيْرِ اسْمِهِ أَوْ عَبَدَ مَعَهُ غَيْرَهُ وَالْأَصَحُّ أَنَّ مَعْنَاهُ أَنَّ كُلَّ مَوْلُودٍ يُولَدُ مُتَهَيِّئًا لِلْإِسْلَامِ فَمَنْ كَانَ أَبَوَاهُ أَوْ أَحَدُهُمَا مُسْلِمًا اسْتَمَرَّ عَلَى الْإِسْلَامِ فِي أَحْكَامِ الْآخِرَةِ وَالدُّنْيَا وَإِنْ كَانَ أَبَوَاهُ كَافِرَيْنِ جَرَى عَلَيْهِ حُكْمُهُمَا فِي أَحْكَامِ الدُّنْيَا وَهَذَا مَعْنَى يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ أَيْ يَحْكُمُ لَهُ بِحُكْمِهِمَا فِي الدُّنْيَا فَإِنْ بَلَغَ اسْتَمَرَّ عَلَيْهِ حُكْمُ الْكُفْرِ وَدِينِهِمَا فَإِنْ كَانَتْ سَبَقَتْ لَهُ سَعَادَةٌ أَسْلَمَ وَإِلَّا مَاتَ عَلَى كُفْرِهِ
Ertinya: Dan kata setengah ulamak maknanya setiap anak yang dilahirkan itu dilahirkan atas mengenal Allah Taala dan mengaku dengan ketuhanan Allah. Maka tiada seorang pun anak yang dilahirkan melainkan dia mengaku bahawa ada baginya pencipta sekalipun dia namakan pencipta itu dengan bukan namanya atau ibadah dia akan penciptanya serta yang lainnya. Dan pendapat yang paling sahih maknanya ialah setiap anak yang dilahirkan itu adalah ia dilahirkan dalam keadaan bersedia bagi agama Islam maka anak yang adalah ibu bapanya atau salah seorangnya beragama Islam nescaya berkekalan anak itu atas agama Islam pada segala hukum akhirat dan dunia. Dan jika ibu bapanya kafir keduanya nescaya berjalan atas anak itu hukum kedua ibu bapanya pada segala hukum dunia. Dan inilah makna kedua ibu bapa meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya, ertinya dihukumkan bagi anak itu hukum kedua ibu bapanya di dunia. Maka jika anak itu telah dewasa nescaya berkekalanlah atas anak itu hukum kafir dan atas agama kedua ibu bapanya. Maka jika telah ditentukan pada azali bagi anak itu seorang yang bahagia nescaya dia akan memeluk Islam dan jika tidak maka mati anak itu atas kufurnya.” (Kitab Syarah Sahih Muslim)
Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 7/7/2026











