
GOMBAK: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Johor sebagai ‘turning point’ yang bakal menjadi titik perpecahan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), berdasarkan perkembangan politik semasa.
Beliau mengulas ucapan Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN di Johor, merujuk kenyataan yang mengibaratkan dirinya berada dalam keadaan ‘sandwich’ dalam mesyuarat Kabinet.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Zahid menyatakan dirinya ‘diapit’ antara Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.
“Dia (Zahid) kata ‘saya (Zahid) jadi ‘sandwich’. ‘Sandwich’ ini diapit oleh roti atas (dan) bawah. Saya dalam mesyuarat kabinet, saya jadi ‘sandwich’ sebelah kanan saya Perdana Menteri, sebelah kiri saya, Setiausaha Agung DAP.
“Sepatutnya mereka terima kasih kepada BN kerana BN mengekalkan ‘Kerajaa Perpaduan’, sepatutnya mereka terima kasih’. Saya tak pastilah ayat itu habis ke tak habis. Sepatut dia habiskan ayat itu, ‘ternyata mereka tidak berterima kasih’ baru sedap sikit ayat nak ulas,” sinis Fadhli.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Gombak kali ke-31 di Dewan BBIS, Taman Melawati, Hulu Kelang, di sini semalam.
Mengulas perumpamaan ‘sandwich’ yang digunakan, beliau berkata penerimaan sesuatu pihak bukan hanya berdasarkan ‘roti’, sebaliknya ‘isi’ yang berada di dalamnya.
“Saya nak nyatakan dan saya nak sebut dalam ruang yang terbuka ini, walaupun Dato’ Seri jadi ‘sandwich’, tapi yakinlah ‘sandwich’ itu dimakan kerana isi ‘sandwich’nya bukan kerana rotinya.
“Kalau kerana rotinya mungkin orang berfikir dua kali nak makan roti itu. Tapi kerana ada isi di celah-celah ‘sandwich’ itulah yang menyebabkan orang pilih untuk makan ‘sandwich’” ulas beliau.
Dalam ucapannya, Ahmad Fadhli mengingatkan supaya kesilapan politik empat tahun lalu tidak diulangi, khususnya membabitkan kerjasama antara Umno dan PH.
“Dalam erti kata lain, Umno dan BN marah kepada PH sekalipun tapi kerana Umno dan BN-lah yang menyebabkan DAP berada di puncak kuasa pada hari ini.
“Empat tahun sudah Umno-BN telah melakukan kesilapan, tolong akuinya, akuilah. Tolong akui dan jangan lagi ulangi kesilapan tersebut di masa hadapan. Jangan ulangi perkara tersebut di masa hadapan,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan PAS bersedia menghulurkan kerjasama atas dasar kemaslahatan ummah dan negara, dengan harapan perubahan landskap politik akan meletakkan DAP serta PH sebagai pembangkang pada masa depan.
“Kami di pihak Parti Islam Se-Malaysia PAS. Walaupun Umno telah buat silap dengan bekerjasama dengan DAP empat tahun meletakkan DAP di puncak kuasa.
“Tapi untuk kemaslahatan ummah, kemaslahatan negara untuk masa depan, kita hulurkan tangan sekali lagi untuk kita selamatkan mereka dan selamatkan negara ini.
“Dan kita letakkan DAP dan juga PH di barisan pembangkang pada masa yang akan datang insya-Allah,” serunya.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan BN berdepan dengan PH sebagai langkah politik yang wajar diteruskan hingga ke Negeri Sembilan.
“Sebab bagi negara kepada PH, kita tidak nampak di mana hala tuju yang sebenar dalam memandu negara ini. Kita tidak boleh nak lihat ke mana nak dibawa negara dan negeri ini.
“Di Selangor sebagai contoh, tak pernah satu titah ucapan daripada Sultan yang memerintah negeri disanggah secara terbuka di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Tetapi berlaku di tempat tuan-tuan sekalian berlaku, _‘cannot brain’_ orang muda kata. Saya tak boleh bayangkan kalau berlaku di Kelantan, titah Sultan Kelantan disanggah di dalam dewan.
“Walaupun betullah bahasanya, bahasa berlapik, tetapi mengemukakan idea yang berlainan dengan seorang sultan yang memerintah negeri tersebut.
“Ucapan titah negeri itu pun disampaikan secara rasmi dalam pembukaan Dewan Undangan Negeri Selangor, tiba-tiba disanggah secara terbuka.
“Bukan setakat secara terbuka, dalam dewan yang ada imuniti, ucapan itu juga disokong oleh pemimpin-pemimpin parti tersebut. Ini isyarat kepada tuan-tuan sekalian. Itu mereka belum ada kuasa.
“Kalau mereka ada kuasa mereka akan bertindak lebih jauh daripada itu lagi. Sebab itu tidak ada lagi alasan untuk tuan-tuan sekalian.
“Tidak ada lagi alasan. Selangor ini wajib untuk kita tawan dalam pilihan raya umum yang akan datang,” serunya lagi.. – *HARAKAHDAILY 6/7/2026*











