PAS tetap suarakan isu rakyat walau tanpa pengiktirafan

Dikemuka menerusi ADUN Maharani, Abd Aziz ke DUN Johor

- Advertisement -

MUAR: Ustaz Muhammad Amin Sailan memaklumkan, lebih 45 isu telah dibawa ke dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Cikgu Abdul Aziz Talib daripada PAS.

- Advertisement -

Menurutnya, beliau sendiri antara terlibat dalam mengangkat sekitar lapan hingga 10 isu tersebut atas keterlibatannya sebagai pembantu peribadi (PA) Cikgu Aziz selama sepenggal.

Namun jelas beliau, perkara tersebut tidak diperincikan sebagai sumbangan secara langsung, meskipun akhirnya turut diangkat sebagai perkara yang dibincangkan oleh pihak kerajaan.

“Pengalaman bersama dengan ADUN Maharani, Cikgu Aziz, kita pernah bawa banyak isu, lebih kurang 45 ke atas. Ada yang mendapat perhatian kerajaan tetapi tidak dihighlightkan nama Cikgu Aziz. Jadi yang ni boleh tanya Cikgu Aziz.

“Sebenarnya banyak lebih kurang lapan ke 10 topik yang kita bawa tapi tak pernah disebut (nama) pun. Tapi akhirnya mereka ambil perkara tersebut, soalan-soalan tersebut hal berbangkit tersebut untuk dijadikan poin daripada pihak kerajaan. Tak apalah,” dedah beliau.

Calon PERIKATAN NASIONAL bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.16 Sungai Balang itu berkata demikian dalam pentas anak muda Jom Jaga Johor Pemuda PERIKATAN NASIONAL di DUN Sungai Balang, di sini malam kelmarin.

Beliau menegaskan, keutamaan bukan pada pengiktirafan nama, sebaliknya memastikan suara rakyat sampai ke peringkat Dewan Undangan Negeri dan diambil sebagai pertimbangan oleh pihak kerajaan.

“Sekurang-kurangnya jariah kita ada di situ kan? Walaupun orang kata alah rugilah. Kan rugilah. Dah bawa penat-penat tapi tak ada nama. Kita tak harapkan nama. Kita tak harapkan apa-apa, …. (selain keredhaan) daripada Allah SWT,” jelasnya.

Selain itu, beliau menzahirkan hasrat agar suara rakyat Sungai Balang dapat dibawa ke dalam sidang DUN sebagai suara pengimbang yang mampu menegur serta memastikan kerajaan lebih peka terhadap isu setempat.

“Jadi kita nak bagi tahu kepada semua warga Sungai Balang, Bangsa Johor, kita tak masuk (bertanding) semua kerusi (DUN).

“Tapi kita nak supaya suara rakyat ini, suara Bangsa Johor ini dapat dibawa ke dalam sidang DUN dalam keadaan pengimbang yang mendesak kerajaan supaya suara-suara ini sampai,” tegasnya.

Menjelang 11 Julai, beliau menyifatkan tarikh itu sebagai penentu kepada pilihan warga Sungai Balang sama ada mengekalkan keadaan sedia ada atau melakukan perubahan ke arah lebih baik.

“Adakah dia masih berada di takuk yang lama? Adakah dia masih berada di dalam landasan yang lama ataupun dia boleh berubah ke atas landasan yang lebih baik?

“Jadi mudah-mudahan itu sebagai satu pencetus untuk warga Sungai Balang membuat pilihan yang terbaik.

“Mudah-mudahan ianya menjadi pahala ataupun ianya menjadi asbab kepada makmur ataupun sejahteranya Sungai Balang seperti yang dibawa oleh pimpinan kita,” katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan berkenaan kisah pemuda Al-Kahfi dengan membaca Surah Al-Kahfi ayat 10 yang menggambarkan doa pemuda yang memohon rahmat dan petunjuk Allah ketika berlindung di dalam gua.

Mengulas perkara itu, beliau menekankan bahawa anak muda perlu memiliki pegangan hidup yang jelas serta kekuatan spiritual dalam menentukan arah perjuangan.

“Anak muda mesti ada satu pegangan yang betul. Anak muda mesti ada satu kekuatan dalam diri mereka kepada siapa mereka hendak memohon.

“Jadi hari ini kita tahulah kepada siapa? Kepada Allah SWT lah, kepada tuhan kita,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 6/7/2026

- Advertisement -