
TENGGARA: Yuhanita Yunan mempertaruhkan empat agenda utama yang memfokuskan kepada kebajikan rakyat, kesejahteraan keluarga, pembangunan komuniti dan tadbir urus telus sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurut beliau, amanah yang diberikan rakyat bukan sekadar janji politik, sebaliknya tanggungjawab besar perlu dipikul dengan penuh keikhlasan, integriti dan komitmen bagi memastikan setiap keperluan masyarakat diberi perhatian.
“Amanah bukan sekadar janji, tetapi tanggungjawab yang akan saya pikul dengan penuh keikhlasan. Dengan penuh rendah hati, saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Pasir Raja.
“Berikanlah saya peluang untuk berkhidmat, mendengar denyut nadi rakyat serta merealisasikan agenda YUHA demi Pasir Raja yang lebih sejahtera dan membangun,” kata calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Pasir Raja itu.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi hala tuju dan fokus perjuangannya menerusi sebuah podcast sempena kempen PRN Johor ke-16.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Yuhanita memperkenalkan manifesto berteraskan empat agenda utama yang dirangkumkan menerusi akronim YUHA, iaitu ‘Yakin bersama’, ‘Utuh membela’, ‘Harmoni sejahtera’ dan ‘Adil untuk semua’.
Katanya, menerusi agenda ‘Yakin bersama’, beliau mahu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem penyampaian perkhidmatan melalui penubuhan Pusat Khidmat dan Aduan Rakyat yang lebih responsif, cekap serta mudah diakses oleh masyarakat.
Sementara itu, agenda ‘Utuh membela’ pula memberi penekanan kepada usaha memperkasakan kebajikan wanita dan kanak-kanak melalui penyediaan sokongan yang lebih menyeluruh meliputi aspek pendidikan, perlindungan, keselamatan serta kesejahteraan hidup.
Menurut Yuhanita, wanita masa kini memikul tanggungjawab yang semakin mencabar apabila perlu mengimbangi peranan sebagai ibu, isteri dan pekerja dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga.
“Wanita bukan sahaja mengurus rumah tangga dan membesarkan anak-anak, malah ramai yang turut bekerja bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga.
“Keadaan itu menyebabkan mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk tekanan emosi, masalah kesihatan mental dan fizikal, selain risiko keganasan rumah tangga serta gangguan di tempat kerja,” katanya.
Beliau berkata, isu yang dihadapi golongan wanita pada masa kini tidak boleh dipandang ringan kerana ia memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan institusi keluarga dan pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.
Sehubungan itu, beliau berjanji akan menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar setiap keluhan penduduk dan membawa isu-isu berkenaan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya penyelesaian yang berkesan dapat dilaksanakan.
“Saya amat memahami cabaran yang dihadapi wanita dalam mengimbangi kerjaya dan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Sebab itu saya mahu menjadi wakil rakyat yang benar-benar mendengar setiap permasalahan mereka. Setiap suara dan keperluan rakyat akan saya bawa ke DUN supaya mendapat perhatian serta tindakan sewajarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, agenda ‘Harmoni sejahtera’ akan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif menerusi penambahbaikan kemudahan asas serta infrastruktur demi meningkatkan kualiti hidup masyarakat Pasir Raja.
Pada masa sama, Yuhanita berkata, agenda ‘Adil untuk semua’ akan diterjemahkan melalui pelaksanaan ‘Report ard Peruntukan Rakyat Pasir Raja’ sebagai usaha memperkukuhkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.
Katanya, inisiatif itu membolehkan setiap perbelanjaan melibatkan peruntukan rakyat dipantau dan dinilai secara terbuka bagi memastikan setiap sen dibelanjakan memberi manfaat kepada masyarakat.
“Saya tidak mahu hanya dikenali sebagai wakil rakyat ketika musim pilihan raya. Saya mahu menjadi pendengar, penyelesai masalah dan suara kepada seluruh masyarakat Pasir Raja tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Sekiranya diberi mandat, saya akan menggunakan amanah itu untuk memperjuangkan setiap isu rakyat dengan penuh tanggungjawab dan memastikan tiada suara yang dipinggirkan,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi Pasir Raja agar memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan komitmen tersebut sekali gus bersama-sama menjayakan agenda YUHA dalam usaha membina Pasir Raja yang lebih maju, inklusif dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 6/7/2026











