Yuhanita tekad selesai isu banjir Rantau Panjang

Yuhanita mendengar luahan Rohana yang menceritakan kediaman beliau dilanda banjir.
- Advertisement -

TENGGARA: Isu banjir yang saban tahun menghantui kehidupan penduduk di Rantau Panjang akan menjadi antara keutamaan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN N.35 Pasir Raja, Yuhanita Yunan, sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat pada PRN16 Johor.

- Advertisement -

Komitmen itu dizahirkan selepas beliau turun padang menziarahi beberapa keluarga di Rantau Panjang bagi melihat sendiri keadaan penduduk serta mendengar keluhan mereka yang sekian lama berdepan masalah banjir berulang.

Menurut Yuhanita, kunjungan itu membuka ruang untuk beliau memahami dengan lebih dekat kesukaran yang dilalui penduduk, sekali gus mengukuhkan tekadnya untuk memperjuangkan penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan.

Rumah pertama diziarahi ialah kediaman Rohana, seorang penjual kuih dan pekebun yang menetap di kawasan sering dinaiki air setiap kali musim banjir.

Katanya, kisah kehidupan Rohana cukup menyentuh hati apabila melihat sendiri ketabahan wanita itu meneruskan kehidupan walaupun berdepan ancaman banjir hampir setiap tahun.

“Tiada kata-kata yang mampu saya ungkapkan selain rasa kagum dengan kekuatan Rohana. Jika saya berada di tempat beliau, belum tentu saya mampu setabah itu.

“Saya doakan Rohana sentiasa berada dalam lindungan ALLAH SWT, dikurniakan kesihatan yang baik dan terus diberikan kekuatan menghadapi setiap ujian,” katanya.

Beliau berkata, segala permasalahan yang dibangkitkan penduduk tidak akan dipandang ringan, malah akan dijadikan antara agenda utama sekiranya diberi peluang mewakili rakyat Pasir Raja.

“Insya-Allah, saya mengambil maklum keadaan yang dihadapi Rohana. Sekiranya saya diberi peluang menjadi ADUN Pasir Raja, saya akan berusaha sedaya upaya membantu beliau dan seluruh penduduk di kawasan ini.

“Isu banjir bukan lagi masalah bermusim, sebaliknya sudah menjadi beban yang menjejaskan kehidupan, keselamatan dan sumber pendapatan penduduk.

“Saya mahu melihat penyelesaian yang lebih menyeluruh supaya rakyat tidak lagi terpaksa hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat melanda,” katanya.

Dalam lawatan sama, Yuhanita turut menziarahi Khairina Yahya, yang berkongsi pengalaman apabila kediamannya menjadi antara rumah terawal dinaiki air setiap kali banjir berlaku.

Menurut Khairina, setiap kali banjir melanda, beliau bersama keluarga terpaksa berpindah ke sebuah sekolah kebangsaan berhampiran yang sudah dianggap sebagai ‘rumah kedua’ kerana terlalu kerap dijadikan pusat perlindungan sementara.

Yuhanita berkata, beliau turut bersyukur apabila dimaklumkan bahawa Muslimat PAS sentiasa hadir menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan setiap kali mereka berdepan musibah banjir.

“Saya mendoakan Khairina dan keluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Saya mengambil maklum situasi dihadapi penduduk di sini. Jika diberi amanah sebagai ADUN Pasir Raja, saya akan jadikan usaha menangani isu banjir sebagai antara fokus utama saya.

“Saya mahu memperjuangkan penyelesaian yang benar-benar memberi kesan agar penduduk tidak lagi terpaksa berpindah ke pusat pemindahan setiap kali musim hujan dan dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa serta tenang,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Khairina dan keluarganya yang bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama, selain berharap mereka memberikan sokongan kepada PN demi masa depan Pasir Raja yang lebih sejahtera.

PRN Johor ke-16 menyaksikan DUN Pasir Raja bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru di mana Yuhanita akan berdepan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (BN), serta Mohd Fakharuddin Moslim (PH).

Pada Pilihan Raya Negeri sebelum ini, kerusi DUN Pasir Raja dimenangi Rashidah Ismail daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,888 undi dalam pertandingan empat penjuru. – HARAKAHDAILY 5/7/2026

- Advertisement -