
ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyambut baik usaha dilaksanakan Kerajaan Negeri memacu pembangunan ekonomi demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat, walaupun dunia berhadapan pelbagai cabaran ekonomi dan ketidaktentuan geopolitik.
Baginda yakin, Kedah mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk terus berkembang, namun mengharapkan usaha pembangunan dilaksanakan, hendaklah memberi manfaat kepada rakyat negeri ini keseluruhannya.
Justeru titah baginda, usaha memperkukuhkan sektor perindustrian perlu diteruskan dengan memperluaskan kawasan pembangunan industri kerana sektor tersebut mempunyai potensi besar untuk menjana pelaburan.
“Beta menghargai peranan agensi negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berperanan memudahcara bagi kemasukan pelabur. Sehubungan itu, tindakan memperkasakan pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan teknologi, mesti diberi keutamaan bagi memenuhi keperluan pasaran masa hadapan.
“Beta mahu para graduan dan tenaga mahir dari kalangan anak-anak Kedah, dapat menjadi ‘the best brains of Kedah’, untuk berkhidmat di dalam negeri ini,” titah baginda.
Dalam pada itu baginda turut menyentuh akan hak dan kedaulatan Negeri Kedah, sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dihormati oleh semua pihak.
Berikutan itu, baginda mahukan Kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat dan maksud asal perjanjian tersebut.
“Bayaran pajakan Pulau Pinang yang diterima oleh Kerajaan Beta adalah berasaskan perjanjian yang telah lama dimeterai. Namun, kadar yang dibayar pada masa ini adalah jauh lebih rendah berbanding nilai yang sewajarnya,” titah baginda lagi.
Baginda juga menyentuh berkenaan pembangunan pelancongan di Langkawi pada titah ucapan sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda kali ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.
Titah baginda, Pulau Langkawi sewajarnya dijadikan aset strategik negeri dan negara, selain menjadi destinasi pelancongan utama serta pemangkin pertumbuhan ekonomi Kedah.
Tuanku juga menyarankan agar pembangunan Langkawi dibentuk mengikut acuan serta identiti tersendiri tanpa meniru atau membandingkan seperti Phuket di Thailand atau Bali di Indonesia.
“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari.
“Beta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan, atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi pulau lagenda itu,” tegas baginda lagi.
Selain itu, baginda juga mahukan pengurusan kewangan perlu dilaksanakan secara berhemah, memandangkan situasi ekonomi semasa yang agak mencabar, dewasa ini.
Titah baginda, sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan kaya dengan sumber hasil bumi seperti Rare Earth Elements (REE), Kerajaan Negeri berkuasa untuk mengurus serta meneroka sumber hasil buminya.
Justeru baginda mahukan perkara itu perlulah dihormati dan dipermudahkan oleh semua pihak, malah Kerajaan Persekutuan juga perlu memberi kerjasama bagi memastikan tiada sebarang halangan pentadbiran berlaku di negeri ini.
“Amatlah rugi sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan, hanya disebabkan perbezaan pandangan dan pemahaman politik, sehingga membelakangkan hak dan keperluan negeri.
“Beta memandang serius kelewatan pelaksanaan, beberapa projek infrastruktur strategik, seperti Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah atau Anak Bukit, yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.
“Kelewatan ini mengakibatkan kejadian banjir yang berulang dan menjejaskan penduduk di kawasan terlibat,” titah baginda lagi.
Sultan juga mengambil maklum berkaitan inisiatif agenda pembasmian kemiskinan di negeri ini agar dilaksanakan secara berterusan, sekali gus memberi impak kepada rakyat agar kesejahteraan dapat dinikmati secara menyeluruh dan berpanjangan.
Dalam mengejar kemajuan dan pembangunan, baginda juga mengingatkan kekuatan sesebuah negeri tidak hanya terletak pada kemajuan ekonomi semata-matanya, sebaliknya juga pada nilai amanah, tanggungjawab serta kebersamaan di kalangan rakyat.
Justeru titah baginda, setiap lapisan masyarakat hendaklah memainkan peranan dengan penuh amanah dan tanggungjawab selain memupuk semangat kecintaan terhadap negeri agar insan yang berwibawa dan cemerlang dalam pelbagai bidang, terus dilahirkan.
“Beta juga ingin menzahirkan penghargaan kepada seluruh anggota pentadbiran Pegawai Tadbir Negeri Kedah, penjawat awam negeri dan Persekutuan.
“(Serta) seluruh anggota keselamatan dan petugas di barisan hadapan yang memberikan taat setia serta berdedikasi dalam memastikan kestabilan negeri terus terjamin.
“Beta juga bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan izin-Nya, diberi kesempatan untuk menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-84 pada hari ini,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 5/7/2026










