Kedah tempa pelbagai kemajuan, sejahterakan rakyat

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kedah menjadi tarikan sebagai destinasi pelaburan kompetitif akan terus diperkukuh walaupun negeri itu berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi global, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Noor.

- Advertisement -

Tegasnya, beliau yakin kedudukan strategik Kedah serta ekosistem sedia ada, selain disokong oleh tadbir urus kerajaan yang cekap, perkara itu dapat direalisasikan dengan baik.

“Agenda gagasan ‘The Greater Kedah’ akan terus direalisasikan bagi memperkukuh ekonomi dan pembangunan negeri walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global berikutan tercetusnya Perang Asia Barat yang masih belum reda sepenuhnya.

“Patik juga yakin dengan izin Allah dan berkat naungan dan pedoman Tuanku Sultan, kerajaan ini akan terus berada di landasan yang tepat, malah agenda yang dirancang akan berjaya direalisasikan,” ujarnya.

Beliau menyampaikan ucapan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ke-84, di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Beliau menegaskan, keyakinan itu berdasarkan prestasi nilai pelaburan diluluskan berjumlah RM183.7 bilion yang direkodkan dalam tempoh lima tahun iaitu 2021 hingga tahun 2025.

Termasuk keputusan pelabur antarabangsa seperti AT&S dari Austria untuk menambah pelaburan sebanyak RM10 bilion di Kulim
Hi-Tech Park (KHTP) baru-baru ini.

Selain KHTP ujarnya, Kulim Industrial Corridor dan Kedah Rubber City (KRC), Bukit Kayu Hitam Special Border Economic Zone (BKH-SBEZ)  dan Kedah Science & Technology Park (KSTP) juga merekodkan jumlah pelaburan awal bernilai tinggi RM1.4 bilion yang sedang direalisasikan.

Di samping itu tegas Sanusi, Kerajaan Negeri juga turut memastikan kejayaan itu akan memberi peluang pekerjaan bernilai tinggi melalui ‘Program Kedah Young Professionals’.

Jelas beliau, ia sebagai inisiatif strategik memperkukuh pembangunan modal insan yang akan memberi manfaat kepada 1,000 anak muda di negeri ini.

“Kerajaan Negeri juga  sedang merangka satu dasar hala tuju Pembangunan TVET melalui ‘Kedah TVET Implementation Roadmap’ yang dijangka siap pada suku ketiga 2026 sebagai persediaan belia di negeri ini memenuhi keperluan industri.

“Melalui pelaksanaan dasar pembangunan TVET ini, patik menaruh keyakinan bahawa taraf kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dapat dipertingkatkan.

“Rakyat bukan sahaja berupaya memperoleh pekerjaan yang lebih baik, bahkan mampu meningkatkan taraf sosioekonomi seisi keluarga,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut memaklumkan, pihaknya juga tidak menyampingkan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat jelata menerusi pelbagai inisiatif.

Antaranya seperti Bantuan Beras Sejahtera, Bantuan Permataku Sejahtera, Bantuan Perubatan Sejahtera dan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar yang sehingga kini telah memanfaatkan lebih 34,281 orang penerima.

Selain itu katanya lagi, inisiatif Lot Desa Sejahtera melalui projek perintis di Kampung Perik, Daerah Padang Terap juga telah mula menampakkan hasil dengan permulaan, enam peserta layak menerima tawaran, mendiami rumah kediaman bermula Ogos depan.

“Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif ini di Mukim Sungai Limau, Daerah Yan dengan kerjasama pihak swasta. Kerja-kerja penyediaan tanah akan dimulakan pada suku keempat 2026 kepada 116 peserta yang layak,” jelasnya lagi.

Sementara itu bagi sektor pelancongan pula kata beliau, telah mencatatkan kejayaan membanggakan dengan kehadiran lebih tujuh juta pelancong dari dalam dan luar negara, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan sempena Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Katanya, melalui Kedah Tourism, usaha mempromosikan tarikan pelancongan baharu seperti Port Padang Garam di Kuala Kedah, Kopi Waktu di Ulu Sedaka dan Rock Village di Kampung Kura, Sik, berjaya menarik perhatian pengunjung.

Dalam konteks pelancongan di Pulau Langkawi pula kata Sanusi, sesi libat urus awal dengan Kerajaan Persekutuan bagi menetapkan semula hala tuju Langkawi sebagai Pulau Bebas Cukai sepenuhnya.

Maklum beliau, ia akan diadakan sejajar dengan titah Tuanku Sultan Kedah  sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 13 April lalu.

Kerajaan Negeri juga tegasnya, turut memberi tumpuan kepada kepentingan sektor pertanian sebagai jaminan keselamatan makanan kepada rakyat jelata.

Di mana katanya, usaha untuk mengintegrasikan sektor pertanian dengan sektor pelancongan sedang diperluas melalui produk agro-pelancongan bagi menambah pendapatan petani.

“Mempelam Harumanis D’ Aman juga berpotensi menjadi produk agro-pelancongan yang dapat mengukuhkan pendapatan pengusaha dan sehingga kini, tanaman harumanis telah diusahakan oleh 290 pengusaha meliputi kawasan seluas 109.37 hektar.

“Melalui pengeluaran semusim sebanyak 143 ribu kilogram, ia memampu meningkatkan nilai pasaran berjumlah RM4.29 Juta,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu beliau turut menegaskan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah juga telah berjaya menempa nama apabila Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) diiktiraf di peringkat nasional sebagai Bandar Rendah Karbon Tahun 2026.

Pengiktirafan itu katanya membuktikan usaha proaktif PBT dalam menyokong agenda kelestarian, ekonomi kitaran serta aspirasi pembangunan hijau sepertimana disarankan oleh Tuanku Sultan sebelum ini. – HARAKAHDAILY 5/7/2026

- Advertisement -