Marzuk jawab tuduhan PAS ‘menunggang agama’

- Advertisement -

PARIT BUNTAR: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak pernah mendakwa dirinya mewakili Islam secara mutlak, sebaliknya berusaha menjadikan nilai-nilai Islam sebagai panduan dalam medan politik.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary menegaskan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Parit Buntar Kali Ke-72, di sini semalam.

Beliau juga menyanggah dakwaan bahawa PAS ‘menunggang agama’ apabila membawa al-Quran, hadis dan sirah Rasulullah SAW dalam wacana politik.

Menurut bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, tuduhan tersebut berpunca daripada perbezaan cara pandang terhadap hubungan antara agama dan politik.

Beliau menjelaskan bahawa Islam ialah agama yang syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk akidah, ibadah, akhlak, kekeluargaan, ekonomi, muamalat, kehakiman dan siyasah.

Justeru katanya, Islam bukan sekadar pegangan peribadi, bahkan menjadi kerangka nilai yang membimbing kehidupan bermasyarakat dan pentadbiran.

Menurut beliau lagi, setiap sistem politik berasaskan suatu kerangka pemikiran tertentu sama ada liberalisme, sosialisme, nasionalisme atau pragmatisme.

PAS pula jelasnya, memilih Islam sebagai asas rujukan siyasah kerana meyakini agama itu diturunkan sebagai petunjuk yang membimbing seluruh dimensi kehidupan manusia.

Beliau turut menegaskan bahawa PAS tidak pernah menyamakan parti itu dengan Islam ataupun mendakwa Islam hanya wujud dalam PAS.

Sebaliknya terang beliau, Islam jauh lebih besar daripada mana-mana parti politik, manakala PAS hanyalah sebuah wadah politik yang berusaha menterjemahkan nilai-nilai Islam dalam sistem demokrasi.

Dalam ucapannya, beliau turut menjelaskan bahawa PAS dibina atas tiga paksi utama iaitu dakwah, tarbiah dan siyasah, dengan politik dianggap sebagai wasilah, bukannya matlamat.

Sirah Rasulullah SAW pula, katanya, dijadikan sumber pengajaran dan pedoman dalam membina gerakan.

Mengulas mengenai pembinaan organisasi, beliau memetik peristiwa Bai’ah Aqabah sebagai contoh bahawa sesebuah gerakan tidak dibina hanya dengan semangat.

Sebaliknya jelas beliau, memerlukan kekuatan iman, tarbiah, disiplin, kesetiaan kepada prinsip dan kesediaan untuk berkorban sebelum memperoleh kemenangan.

Beliau turut mengimbau sejarah awal PAS dengan menyatakan bahawa bumi Kerian, yang meliputi Parit Buntar, merupakan lokasi kemenangan kerusi Parlimen pertama PAS pada Pilihan Raya Persekutuan 1955.

Daripada satu kerusi tersebut katanya, PAS berkembang sehingga menjadi blok parti yang mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbesar di Dewan Rakyat pada hari ini. – HARAKAHDAILY 5/7/2026

- Advertisement -