
BERBAKI seminggu lagi kempen, pelbagai bahan kempen diunggah secara nyata atau maya serangan kepada PAS. Ironinya, gerakan Islam paling tua di negara ini hanya bertanding 11 kerusi dengan bendera PERIKATAN NASIONAL. Seorang menteri bebal dengan gaya pelat Tionghoa mengingatkan mengenai bahaya gelombang hijau sedang masuk ke Johor dan meminta anak-anak muda etnik Cina agar balik mengundi pada 11 Julai ini.
Di pihak lain, terus mengumandang pelabelan Khawarij kepada PAS tetapi diam tidak berkutik apabila diminta hujah, pelbagai momokan kepada PAS atau PERIKATAN NASIONAL seolah-olah ia meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN Johor. Tokoh DAP pula menghujat Kelantan sebagai negeri yang penuh masalah sosial tanpa data serta hujah.
PAS diserang hebat, pasti yang tersenyum ialah musuh Islam kerana yang saling menghambur dan menyulut api kebencian ini adalah sesama umat Islam. Seperti bagaikan ada usaha tersusun untuk menjarakkan umat ini daripada perjuangan Islam serta mengintima’kan diri dengan harakah Islam. Kini, usaha buat ala Professor Dr Christian Snouck Hurgronje lebih seratus tahun dahulu diberikan nafas baru oleh segelintir santri bahkan asatizah yang cuba meremehkan penggabungan dengan jamaah Islam.
Penggabungan dengan gerakan Islam dibimbangi merosakkan citra para ulama, maka cukuplah ulama dengan kenikmatan mengajar kitab thurath, berselawat, berzikir serta bertaqarub kepada Allah. Apa yang berlaku kini merupakan imbasan kembali modus operandi sang orientalis tersohor di Nusantara, Snouck Hurgronje, dalam menjauhkan ummah daripada siasah Islam seperti yang beliau lakukan di Wilayah Acheh Darus Salam.
Menggila juga mutakhir ini menaufan tuduhan Khawarij ke atas pelbagai gerakan Islam dalam dunia moden adalah strategi untuk menjauhkan umat Islam daripada menyokong dan mendukung perjuangan Islam. Implikasinya cukup fatal sehingga membawa kepada usaha bersepadu Ahzab moden dan penguasa munafik Arab yang menggema HAMAS agar melucutkan senjata dan melepaskan pemerintahannya di Gaza.
Sebelum ini, dengan label Khawarij sebagai lesen pembantaian sadis kepada Ikhwanul Muslimin di Syria pada tahun 1982, pembantaian ke atas penyokong-penyokong Dr Mohamed Mursi di Medan Rabaah pada Jun 2013, penyergapan zalim rejim tirani di Iraq, Libya, Tunisia, Bangladesh dan negara-negara lain.
Naratif jahat ini berlangsung dalam negara kita sejak awal 1990-an, jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara digunakan untuk melumur najis hitam kepada gerakan Islam seperti PAS sebagai Khawarij. Hujung bulan lepas, apabila diadakan himpunan ‘Turun Anwar’, maka antara peluru saraf pendukung kerajaan kepada para demonstran ialah ‘jangan jadi Khawarij’. Para cytro kerajaan Madani ini termasuk pegawai-pegawai di sekeliling Anwar ini umpama burung tiong yang hanya tahu bersuara namun jahil kefahaman agama!
Sejarah Khawarij bermula di zaman khalifah keempat kerajaan Khulafa ar-Rasyidin, Saidina Ali KWJ. Berlakunya Perang Siffin pada tahun 37 Hijrah di antara pasukan khalifah Islam dan pasukan tentera Syria yang di saat itu, Muawiyyah menjadi Gabenor Syria.
Muawiyyah tidak mahu membaiah khalifah keempat, Saidina Ali, dengan justifikasi agar disegerakan hukuman ke atas pembunuh Saidina Uthman pada tahun 35 Hijrah. Justifikasi kerajaan khulafa ar-Rasyidin, kejadian pembunuhan itu melibatkan kelompok Sabaiah yang jumlahnya ramai. Perang meledak dan menumpahkan darah sesama Muslim, gemerincingan pedang bersahutan takbir membesarkan Allah sesama pengungkap kalimah toyyibah!
Setelah perang banyak hari berlangsung dengan menggeletak kematian, di sebelah pasukan tentera Syria Muawiyyah, tenteranya menjulang mushaf al-Quran pada hujung tombak dan pedang. Saidina Ali KWJ mengarahkan tenteranya meletakkan senjata, berdamai atau gencatan senjata. Sebahagian tentera Saidina Ali tidak mahu berdamai kerana mereaksinya sebagai kid’ah (strategi).
Mereka keluar daripada mentaati kepimpinan Saidina Ali dan seterusnya menentang Saidina Ali, kelompok Khawarij atau Khariji ini dihadapi oleh Saidina Ali dengan diskusi ilmu. Abdullah Bin Abbas, tokoh al-Quran yang juga ahli keluarga Nabi SAW berdepan dengan hujjah dengan kelompok pelampau ini.
Khawarij mengkafirkan Saidina Ali dan juga mengkafirkan Muawiyyah Bin Abu Suffian, slogan mereka ‘La hukmu illa Lillah’. Perdebatan ilmu dengan Ibnu Abbas telah menyedarkan kesilapan mereka menentang Saidina Ali. Sebahagian telah bertaubat dan kembali menyokong Saidina Ali KWJ manakala sebahagian terus bertekad melawan Saidina Ali.
Sikap kasar dan keras kepala kelompok ini telah menyebabkan berlakunya Perang Nahrawan pada tahun 38 Hijrah. Mereka tewas dan ramai pimpinan utama Khawarij telah terbunuh. Api dendam dan kebencian menyuluh api permusuhan sehinggalah membawa kepada pembunuhan Saidina Ali dalam bulan Ramadhan tahun 40 Hijrah di Kufah oleh Abdul Rahman Bin Muljam.
Ironinya, di zaman milenial yang lumayan dengan fitnah ini, gerakan Islam di pelbagai belahan dunia Islam dituduh secara pukal sebagai puak Khawarij yang berlawanan dengan akidah Islam. Tanpa menafikan adanya khutlah neo-Khawarij di beberapa tempat dalam dunia ini sehinggalah membawa kepada pertumpahan darah sesama Islam akibat onar kelompok neo-Khawarij seperti Daesh Khurasan dan lain-lain lagi.
Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, PAS, an-Nahdhoh dan lain-lain gerakan Islam kontemporari bukanlah bertunjang nuansa kelompok Khawarij. Gerakan Islam memperjuangkan penegakan Syariat Islam, menentang kemungkaran penguasa, mengajak manusia hidup dalam wewenang Syariah dan cara hidup Islam yang syumul.
Pembenci gerakan Islam hari ini bukan sekadar berselimut dengan kejahilan sejarah tetapi seumpama burung tiong yang hanya pandai mengulang bicara musuh Islam. Musuh Islam melagakan kita dengan isu-isu mazhab dan manhaj, ilmuan Islam yang jahil geopolitik menambah garam pada luka umat dengan seruan meremehkan usaha gerakan Islam.
Sesungguhnya, tiada pengasingan di antara politik dan agama, fungsi khalifah di atas muka bumi bukan sekadar retorik politik atau membungkam dalam kitab siasah. PAS wajib dimenangkan untuk mendobrak kejahilan, melawan akan bersemaraknya kemaksiatan serta kemungkaran di negara ini. Suara PAS perlu dalam DUN Johor untuk fungsi semak dan imbang, menjaga Johor dengan kuasa Melayu Islam mesti teras kepada kerajaan.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 5/7/2026











