
MUAR: Calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS bagi N.16 DUN Sungai Balang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Ustaz Muhammad Amin Sailan, 36 menawarkan khidmat dan bakti kepada warga kawasan berkenaan dengan menekankan potensi besar yang dimiliki Sungai Balang.
Beliau berkata, Sungai Balang mempunyai kelebihan tersendiri termasuk kawasan pertanian subur, golongan nelayan yang gigih, usahawan kecil yang rajin, anak muda berbakat serta masyarakat yang hidup dalam semangat kejiranan yang kuat.
“Saya datang pada kali ini menawarkan khidmat dan bakti kepada warga Sungai Balang. Sungai Balang mempunyai potensi yang sangat besar,” ujar beliau dalam video di media sosial miliknya.
Bagaimanapun, calon nombor dua bagi DUN ditandinginya itu tidak menafikan wujud cabaran yang dihadapi penduduk setempat termasuk peluang pekerjaan berkualiti terhad sehingga menyebabkan sebahagian anak muda berhijrah.
Selain cabaran itu menurut lepasan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir ini, golongan petani dan nelayan turut berdepan peningkatan kos sara hidup serta cabaran mendapatkan pulangan lebih baik.
Dalam masa sama, beliau mengajak pengundi untuk bersama-sama menjadikan Sungai Balang sebagai kawasan yang berkat, prihatin dan sejahtera melalui doa, sokongan serta kerjasama seluruh warga setempat.
“Okey untuk Sungai Balang saya mintalah kepada seluruh pengundi yang ada di Sungai Balang ni insya-Allah mudah-mudahan kita sama-sama nak jadikan Sungai Balang ni ‘Berkat Prihatin dan Sejahtera’,” ulasnya.
Beliau turut menegaskan, pendekatan dibawa kali ini adalah sebagai pengimbang, dengan harapan suara dari kerusi berkenaan dapat disalurkan kepada kerajaan yang lebih baik.
“Kita bawa satu pembaharuan, kita bawa satu pendekatan untuk menjadi pengimbang yang baik. Mudah-mudahan suara kita ni daripada kerusi pengimbang boleh sampai kepada kerajaan yang lebih baik. Insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2026











