Ziarah kasih ‘sentuhan’ Yuhanita Yunan di Pasir Raja

Yuhanita bersarapan bersama dan menyantuni warga Pasir Raja di Kedai Rakan Mulia, Kota Tinggi.
- Advertisement -

TENGGARA: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.35 Pasir Raja, Yuhanita Yunan proaktif melaksanakan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan pendekatan turun padang dan ziarah komuniti.

- Advertisement -

Calon No.2 daripada PAS itu memberi tumpuan kepada pertemuan bersemuka bersama pengundi di sekitar FELDA Bukit Besar, Sungai Telor, Taman Sri Saujana dan beberapa kawasan kampung dalam DUN berkenaan.

Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tenggara itu juga kerap melaksanakan program ziarah kasih ke rumah penduduk termasuk warga emas, pesakit terlantar serta keluarga yang berdepan ujian kesihatan dan kehilangan ahli keluarga.

Antara pendekatan digunakan termasuk lawatan dari rumah ke rumah serta pertemuan di lokasi awam seperti kedai makan dan ruang perniagaan kecil, yang memberi ruang kepada beliau mendengar sendiri pandangan serta keluhan penduduk.

Dalam masa yang sama, Pemegang Diploma in Business Studies – UiTM itu turut mengekalkan interaksi bersama masyarakat melalui sesi santai seperti sarapan pagi bersama penduduk di kedai-kedai sekitar kawasan Sungai Telor dan Kota Tinggi, yang menjadi antara platform mendengar isu setempat.

Yuhanita yang juga Pemegang Diploma Perguruan – SRITI Malaysia menekankan pengalaman peribadi berkhidmat dalam bidang pendidikan di kawasan setempat, termasuk penglibatan dalam pengasasan PASTI Al-Ummah 2 di FELDA Bukit Besar pada 2018 serta perkhidmatan sebagai pendidik di SRITI Tahfiz Al-Ummah.

Menurut beliau, pengalaman tersebut membentuk kefahaman mendalam terhadap keperluan komuniti setempat, khususnya berkaitan pendidikan, kebajikan keluarga dan cabaran kehidupan harian penduduk Pasir Raja.

Pendekatan kempen bekas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Johor itu turut disokong oleh gerak kerja pasukan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memperluaskan capaian pertemuan bersama pengundi di seluruh kawasan DUN berkenaan.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggunakan slogan kempen ‘Jom Jaga Pasir Raja’ serta ‘Terus Berbakti, Pasir Raja Sejahtera’ sebagai tema utama bagi menzahirkan komitmen untuk terus mendekati rakyat dan memahami isu setempat.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan kempen adalah untuk mendengar suara rakyat secara langsung serta membina hubungan lebih dekat dengan masyarakat sebelum hari pengundian, selain menyantuni masyarakat setempat dalam suasana lebih santai dan dekat.

Kempen beliau dijangka diteruskan sehingga hari pengundian dengan fokus kepada pendekatan bersemuka, ziarah komuniti serta program santai bersama penduduk di seluruh DUN Pasir Raja. – HARAKAHDAILY 2/7/2026

Yuhanita membuat ziarah kasih di FELDA Bukit Besar.
Yuhanita Yunan dan pasukannya mengunjungi rumah Muhamed Mat Nor di Sri Saujana dalam program ziarah kasih.
Yuhanita Yunan dan pasukannya turut mengunjungi rumah Ramlah Long di Sri Saujana dalam program ziarah kasih.

- Advertisement -