
MUAR: PAS Johor bertekad mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di samping berusaha menambah kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN).
Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed menegaskan, penyertaan PAS menerusi 11 kerusi yang ditandingi berhasrat memperkukuhkan peranan semak dan imbang dalam pentadbiran negeri.
Beliau juga berkata, dalam sistem demokrasi yang sihat, kerajaan tidak boleh dibiarkan mentadbir tanpa semak dan imbang yang berkesan.
Menurut beliau, setiap dasar, keputusan dan perbelanjaan kerajaan perlu dipantau bagi memastikan semuanya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, bukannya sekadar menjadi slogan pembangunan.
“Justeru, PAS Johor bukan sahaja bertekad mempertahankan DUN Maharani menerusi calon PERIKATAN NASIONAL daripada PAS, malah akan berusaha menambah sebanyak mungkin kemenangan PERIKATAN NASIONAL melalui 11 kerusi yang ditandingi calon PAS dalam PRN Johor Ke-16,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan yang menyatakan bahawa DUN Maharani perlu dikembalikan kepada BN.
Menurutnya, kenyataan itu tidak wajar kerana menafikan peranan besar yang telah dimainkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PERIKATAN NASIONAL daripada PAS di Maharani sepanjang penggal lalu.
“Kemajuan, kestabilan dan pembelaan terhadap rakyat di kawasan ini turut disumbangkan melalui khidmat berterusan wakil rakyat PAS yang menjalankan amanah dengan berhemah serta sentiasa dekat dengan denyut nadi rakyat,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dato’ Dr Mahfodz turut menyeru pengundi supaya terus memberikan kepercayaan kepada calon-calon PAS di kesemua 11 kerusi yang ditandingi, termasuk DUN Maharani, bagi memastikan suara rakyat terus dibawa secara berani, matang dan berprinsip.
“Maharani tidak perlu kembali kepada politik lama yang hanya mahu mengukuhkan kuasa kerajaan. Maharani perlu kekal sebagai suara rakyat yang berani, matang dan berwibawa,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2026











