
PASIR MAS: Kesungguhan Allahyarham Muhammad Jaris Amirul membaca al-Quran sepanjang sebulan sebelum terbabit dalam kemalangan maut disifatkan sebagai antara petanda yang masih segar dalam ingatan keluarganya.
Ibu tirinya, Nor Afini Din berkata, rakan serumah Allahyarham turut memaklumkan anaknya itu sering membaca al-Quran dengan suara yang agak kuat pada minggu sebelum kejadian.
“Rakan serumah memaklumkan Muhammad Jaris rajin membaca al-Quran sebelum kemalangan jalan raya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Kubur Taman Mekasar, Kasar, di sini kelmarin.
Sebelum itu, keluarga terbabit menerima kunjungan pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diketuai Timbalan Pengarah Negeri, Nor Aziemah Ismail.
Pada kunjungan tersebut, PERKESO menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 dan Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM1,952 sebulan kepada waris.
Allahyarham Muhammad Jaris Amirul meninggal dunia pada 23 Mei lalu selepas motosikal ditungganginya melanggar pembahagi jalan berhampiran satu simpang di Kota Iskandar, Johor Bahru ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Nor Afini berkata, Allahyarham juga bersungguh-sungguh mahu melaksanakan ibadah korban tahun ini dengan menyerahkan wang lebih awal.
“Rupanya itu petanda arwah akan pergi sebelum tiba Aidiladha. Dia sudah meninggalkan kami,” katanya.
Beliau berkata, hubungan mereka amat rapat kerana membesarkan Allahyarham sejak berusia 10 tahun selepas ibu kandungnya, Jasnida Abdul Jamil, meninggal dunia ketika melahirkan anak ketiga pada 2002.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Sharulanuar Baharom berkata, hasrat anaknya untuk menjadi penderma organ berjaya ditunaikan selepas seluruh keluarga bersetuju mendermakan kedua-dua kornea matanya.
“Seluruh keluarga termasuk arwah telah lama menjadi pengikrar penderma organ. Selepas berbincang, kami bersetuju mendermakan kedua-dua kornea mata arwah sebelum membawa jenazahnya pulang ke Kelantan untuk dikebumikan.
“Kami tidak mengetahui identiti penerima kerana perkara itu dipersetujui sejak awal bagi menjaga privasi individu berkenaan,” katanya lagi.
Beliau berharap suatu hari nanti dapat dipertemukan dengan penerima kornea mata anaknya bagi melepaskan kerinduan terhadap Allahyarham.
“Harap-harap ada rezeki berjumpa dan semoga dia sudi tampil jika terbaca kisah ini. Sehingga kini saya sentiasa berdoa agar dipertemukan dengan penerima kornea tersebut.
“Allahyarham seorang anak yang baik, mendengar kata dan sangat mengambil berat terhadap adik-beradiknya. Arwah juga seorang abang yang bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keluarga,” katanya lagi.
Nor Afini berkata, biarpun masih bersedih, beliau reda dengan ketentuan Ilahi dan percaya Allah SWT lebih menyayangi anaknya yang meninggal dunia enam hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-29.
Katanya, adik bongsu Allahyarham, Muhammad Qarizh Aryan, 10, turut terkesan dengan pemergian abangnya dan sehingga kini masih menziarahi pusara Allahyarham dua kali sehari. – HARAKAHDAILY 1/7/2026












