Pesanan warga FELDA suntik semangat Normala

- Advertisement -

LABIS: Pertemuan bersama warga FELDA Chempelak memberi suntikan semangat kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.05 Tenang, Normala Sudirman atau Cikgu Mala.

- Advertisement -

Beliau menerima pelbagai pesanan dan nasihat daripada generasi peneroka ketika kunjungan ziarah ke tanah rancangan tersebut sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 (PRN16 Johor).

Menurutnya, program ziarah kasih itu bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan masyarakat, malah menjadi ruang menghargai jasa serta pengorbanan warga FELDA yang membangunkan tanah rancangan sejak sekian lama.

“Bila duduk sembang dengan mak-mak dan ayah-ayah di sini, pesanan dan nasihat daripada orang lama memang menyentuh hati saya,” luah mantan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Labis itu.

Normala juga berkata, setiap kali bertemu masyarakat FELDA, beliau sentiasa mengingati pengorbanan generasi peneroka yang bertungkus-lumus membangunkan kawasan berkenaan demi masa depan keluarga dan negara.

“Saya doakan semoga setiap titis keringat mak ayah kita yang membangunkan FELDA ini dikira sebagai amal jariah yang mengalir pahalanya tanpa henti. Moga Allah SWT murahkan rezeki dan mengurniakan kesihatan yang baik buat seluruh warga FELDA Chempelak,” katanya.

Tambah Cikgu Mala, setiap pertemuan sepanjang kempen mengingatkannya bahawa perjuangan dalam pilihan raya bukan sekadar meraih sokongan, sebaliknya memikul amanah besar daripada rakyat.

“Momen seperti inilah yang menjadikan setiap langkah kempen begitu bermakna. Melihat wajah mereka yang penuh kasih memandang saya, hati ini seakan melihat wajah ibunda sendiri.

“Setiap pelukan, doa dan harapan yang diberikan bukan sekadar sokongan, tetapi satu amanah yang perlu dipikul dengan sebaiknya. Terima kasih kepada warga FELDA atas sambutan yang begitu mesra.

“Setiap pertemuan menjadi pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah,” ujarnya yang mula bertanding di kerusi sama pada Pilihan Raya Kecil (PRN) DUN Tenang tahun 2011.

Program ziarah kasih itu merupakan antara pengisian kempen Cikgu Mala bagi mendekati pengundi di DUN Tenang menjelang hari pengundian PRN16 Johor.

Normala merupakan antara dua calon wanita PAS daripada keseluruhan 11 calon yang ditampilkan parti itu menerusi PERIKATAN NASIONAL pada PRN16 Johor.

Beliau berdepan saingan empat penjuru menentang calon BN, PH dan seorang calon Bebas. – HARAKAHDAILY 30/6/2026

- Advertisement -