Kelantan bukan ‘punching bag’ isu-isu politik

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan menyifatkan usaha menjadikan Kelantan sebagai ‘punching bag’ politik setiap kali timbul sesuatu isu sebagai tidak adil dan hanya membina persepsi negatif terhadap rakyat negeri itu.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan modal politik kerana melibatkan maruah, keselamatan dan masa depan anak-anak Malaysia.

Katanya, tindakan Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer ketika membahaskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 telah memberi gambaran seolah-olah Kelantan merupakan negeri paling teruk dalam isu berkenaan.

Beliau berkata, artikel bertajuk ‘Kelantan and sexual crimes against children: No solution in sight’ dipetik Rayer tidak bersandarkan statistik rasmi kerajaan, sebaliknya hanya menghimpunkan beberapa kes berprofil tinggi sebelum membuat kesimpulan terhadap keseluruhan negeri.

“Statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan gambaran yang berbeza.

“Bagi tahun 2024, Kelantan merekodkan 91 kes, manakala pada tahun 2023 sebanyak 124 kes. Data itu jelas menunjukkan Kelantan bukan negeri yang mencatatkan jumlah kes tertinggi seperti persepsi yang cuba dibina,” katanya lagi.

Menurut beliau, apabila statistik rasmi diketepikan dan hanya naratif tertentu dipilih, ia bukan lagi perbahasan berasaskan fakta, sebaliknya satu bentuk ‘cherry-picking’ untuk membentuk persepsi politik.

Beliau berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja menyerang kerajaan negeri, malah memberi kesan kepada imej hampir dua juta rakyat Kelantan yang dipandang serong hanya kerana berasal dari negeri itu.

“Jangan kerana mahu menyerang PAS, seluruh rakyat Kelantan dihukum melalui persepsi yang tidak berpaksikan fakta,” ujarnya.

Mohd Firdaus turut mempersoalkan dakwaan bahawa pemerintahan PAS selama 36 tahun di Kelantan telah gagal, sedangkan Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menjadi Menteri Besar selama 23 tahun dalam tempoh tersebut.

“Tidak boleh pada satu ketika mengangkat Tok Guru sebagai ikon kepimpinan, kemudian pada masa yang sama menghukum keseluruhan era pemerintahannya sebagai satu kegagalan. Pendekatan ini jelas bersifat politik, bukannya objektif,” katanya.

Beliau berkata, jika logik yang sama digunakan, Selangor dan Johor juga boleh dianggap gagal kerana merekodkan jumlah kes lebih tinggi, namun hakikatnya tiada siapa membuat kesimpulan sedemikian.

“Statistik jenayah dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kepadatan penduduk, tahap pelaporan, keberkesanan penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat. Sebab itu ia perlu dilihat dalam konteks yang menyeluruh,” katanya.

Tambahnya, isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak ialah isu nasional yang memerlukan penyelesaian bersama melalui pengukuhan pendidikan perlindungan, pemantauan media sosial, hukuman lebih tegas terhadap pemangsa seksual serta pemerkasaan institusi keluarga dan komuniti.

Beliau turut menggesa semua pihak menghentikan budaya menjadikan Kelantan sebagai sasaran politik dan sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat. – HARAKAHDAILY 30/6/2026

- Advertisement -