PKD Bunut Payong raih penarafan empat bintang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Khidmat DUN (PKD) Bunut Payong menerima penarafan empat bintang dan tersenarai antara 12 PKD berprestasi terbaik daripada keseluruhan 45 PKD di seluruh Kelantan.

- Advertisement -

Penilaian prestasi tersebut dilaksanakan oleh Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik Pejabat Menteri Besar Kelantan (SPARK) dengan kerjasama Pusat Kajian Strategik Kelantan (PKS).

Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman memaklumkan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Tindakan DUN (MTD) Bunut Payong yang berlangsung di PKD Bunut Payong.

Menurut beliau, PKD Bunut Payong memperoleh markah 82.90 peratus, sekali gus melayakkannya menerima penarafan empat bintang.

“Tahap penarafan tertinggi ialah lima bintang, namun tiada mana-mana PKD yang berjaya mencapainya pada penilaian kali ini. Alhamdulillah, PKD Bunut Payong memperoleh 82.90 peratus dan tersenarai dalam kelompok PKD berprestasi terbaik di Kelantan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kerana kejayaan ini adalah hasil usaha, komitmen dan kerjasama kita bersama,” katanya lagi.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan DUN (MTD) 2, Mhd Nordin Ibrahim dan Timbalan Pengerusi MTD 3, Suhaimi Md Zain.

Dalam perkembangan lain, Shaari berharap hasrat untuk menubuhkan sebuah kelab motosikal belia di Bunut Payong dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kelab itu perlu diberikan nama yang bersesuaian dengan minat dan kecenderungan golongan belia meminati aktiviti sukan permotoran.

“Selain itu, beliau juga berharap setiap mukim dapat mewujudkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan serta memperkukuhkan hubungan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.

Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) memaklumkan bahawa belanjawan MPKB-BRI bagi tahun 2026 dijangka mencatatkan lebihan (surplus), sekali gus menjadi satu pencapaian bersejarah.

“Pendapatan MPKB-BRI pada tahun hadapan dijangka mencecah RM100 juta.

“Berdasarkan ketetapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini, sesebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang ingin dinaik taraf kepada status bandar raya perlu mencapai hasil pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan KPKT baru-baru ini telah menaikkan syarat minimum pendapatan tersebut kepada RM200 juta bagi tujuan pertimbangan status bandar raya. – HARAKAHDAILY 1/7/2026

- Advertisement -