
KOTA BHARU: Bengkel Pemerkasaan Belia/Beliawanis dan NGO 2026 menjadi platform menyelaras gerak kerja pembangunan belia dan organisasi bukan kerajaan (NGO) bagi tempoh Julai hingga Disember tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, bengkel itu diadakan bagi menilai pencapaian program serta merangka pelan tindakan yang lebih strategik bagi baki tahun ini.
Katanya, penyelarasan itu penting supaya setiap inisiatif dilaksanakan secara sistematik, mencapai sasaran dan memberi manfaat kepada belia, beliawanis serta NGO di Kelantan.
“Antara fokus utama bengkel ialah meneliti laporan program yang telah dilaksanakan bagi menilai keberkesanan, mengenal pasti kekuatan serta menambah baik kelemahan,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra berkata demikian menerusi media rasmi selepas Bengkel Pemerkasaan Belia/Beliawanis dan NGO yang berlangsung di sini.
“Peserta turut memperincikan perancangan program bagi tempoh Julai hingga Disember supaya setiap aktiviti memberi impak lebih besar kepada pembangunan belia, beliawanis dan NGO,” katanya lagi.
Beliau berkata, bengkel itu turut memberi penekanan kepada penyelarasan prosedur kewangan dan tadbir urus agensi bagi memastikan setiap peruntukan diurus secara cekap, telus dan berintegriti.
“Pengurusan yang sistematik meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dan memperkukuh keyakinan semua pihak terhadap pengurusan portfolio ini,” ujarnya.
Bengkel itu menghimpunkan Konfederasi NGO Kelantan (KNK), Urus Setia Belia dan Sukan (UBES), Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA), Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) serta sayap Beliawanis.
“Penglibatan semua agensi dan organisasi berkaitan membolehkan gerak kerja diselaras secara menyeluruh, sekali gus memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan belia, NGO dan perpaduan masyarakat di Kelantan,” katanya.
Beliau berharap pelan tindakan yang dirangka menerusi bengkel itu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program yang lebih berfokus dan berimpak tinggi pada separuh kedua tahun ini.
“Portfolio ini akan terus komited memperkasa pembangunan belia, mengukuhkan peranan NGO dan memupuk perpaduan masyarakat menerusi program yang inklusif, tersusun serta mampan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2026











