
SEMBRONG: Budaya mengutamakan perjuangan berbanding kepentingan peribadi menjadi keunikan PAS yang membezakan parti ini daripada parti lain, akui calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.31 Kahang, Mazlan Bujang.
Beliau berkata, sepanjang menyertai PAS, suasana politik dalaman parti itu disifatkan lebih terbuka, berdisiplin dan mengutamakan semangat berpasukan tanpa budaya berebut jawatan atau pencalonan.
“PAS mempunyai satu keunikan yang tidak sama dengan parti yang pernah saya sertai sebelum ini. Dalam PAS, kepimpinan dan ahlinya lebih terbuka. Mereka tidak berebut jawatan, menjadi calon atau sebagainya,” katanya.
Beliau yang sebelum ini pernah bergiat dalam Umno mengulas mengenai pemilihannya sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 Johor menerusi satu perkongsian di media sosial.
Mazlan berkata, penyertaannya dalam PAS membuka ruang untuk beliau melihat sendiri budaya perjuangan yang menurutnya lebih menekankan kesatuan dan kerja berpasukan berbanding kepentingan individu.
Kongsi beliau, walaupun berasal dari Johor dan menyertai PAS di negeri lain, perkara itu tidak menjadi halangan untuk beliau diterima serta diberi peluang menyumbang kepada perjuangan parti.
“Keindahan dalam PAS ialah semua bekerja untuk parti. Tidak timbul soal siapa yang mendapat laluan atau kelebihan tertentu. Jentera PAS juga mempunyai keunikan tersendiri. Tidak ada budaya meminta jawatan atau berebut kedudukan.
“Jika tidak diberikan sesuatu jawatan, mereka tidak mencetuskan kekecohan atau masalah. Semua tetap bekerja,” jelasnya yang turut berpengalaman sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Johor.
Beliau berpandangan budaya positif yang diamalkan PAS wajar dijadikan contoh oleh parti lain, khususnya parti Melayu atau didukung oleh orang Islam.
“Saya tidak nampak ada perkara yang bercanggah dengan ajaran serta perjuangan yang dibawa oleh PAS. Inilah nilai agama yang perlu kita ikuti dan laksanakan supaya perjuangan kita benar benar menjadi perjuangan untuk membantu agama,” ujarnya.
Mazlan turut menegaskan perjuangan Islam tidak boleh sekadar dilaungkan melalui kata-kata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan gerak kerja parti.
“Kita bercakap soal agama, tetapi agama itu mestilah diterjemahkan dalam setiap langkah dan tindakan. Itulah yang saya lihat dalam PAS,” katanya.
Mengulas cabaran di DUN Kahang yang dianggap kubu kuat BN, beliau mengakui bukan mudah untuk merampas kerusi itu memandangkan BN memperoleh majoriti 6,698 undi pada pilihan raya lalu.
Bagaimanapun katanya, pola pengundian dan sentimen rakyat boleh berubah, selain keyakinan terhadap agenda perpaduan ummah memberi harapan positif kepada PAS.
“Kita berusaha dan bertawakal. Apa juga keputusan akhirnya, kita terima dengan reda,” katanya yang berdepan calon BN, V Rugendran dan calon PH, Sabri Kadir dalam pertandingan tiga penjuru. – HARAKAHDAILY 1/7/2026











