Kelantan teliti tindakan undang-undang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti tindakan undang-undang bersesuaian terhadap pihak-pihak yang mengeluarkan tuduhan berniat jahat sehingga mencemarkan imej serta reputasi negeri.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan ketika bercakap kepada media menegaskan, kerajaan negeri memandang serius dakwaan yang ditularkan kebelakangan ini memburukkan negeri itu.

- Advertisement -

Jelasnya, sebarang ulasan mengenai isu jenayah serta gejala sosial hendaklah dibuat secara bertanggungjawab berasaskan data rasmi yang lengkap, bukannya dipersembahkan secara terpilih bagi membina naratif politik.

“Kerajaan Negeri juga sedang meneliti tindakan undang-undang yang bersesuaian terhadap pihak-pihak berkaitan yang didakwa mengeluarkan tuduhan berniat jahat sehingga mencemarkan imej serta reputasi Negeri Kelantan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri turut kesal terhadap tindakan individu bertaraf Menteri dan Ahli Parlimen yang menggunakan platform Dewan Rakyat untuk melemparkan dakwaan tidak berasas tanpa menggunakan sumber data rasmi kerajaan.

“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa dakwaan-dakwaan tersebut adalah tidak tepat, mengelirukan dan bermotifkan politik kerana tidak disandarkan kepada fakta serta statistik rasmi yang lengkap,” katanya selepas Mesyuarat EXCO di Mabna, di sini hari ini.

Menurutnya, Statistik Jenayah Malaysia 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Kelantan merekodkan 2,296 kes jenayah indeks pada tahun 2024 dengan nisbah jenayah indeks 109.

Itu kata Dr Fadzli, jauh lebih rendah berbanding Selangor yang merekodkan 11,910 kes, sekali gus menafikan dakwaan bahawa Kelantan mendahului masalah jenayah secara keseluruhan.

Kemuka beliau lagi, bagi kategori keganasan seksual, Kelantan merekodkan 330 kes pada 2024, lebih rendah berbanding Selangor 1,308 kes, Johor 681 kes, Sabah 573 kes, Perak 543 kes dan Pulau Pinang 388 kes.

“Bagi kategori rogol, Kelantan merekodkan 147 kes, masih lebih rendah daripada Selangor 359 kes, Sabah 232kes dan Johor 223 kes,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temangan.

Mengulas jenayah seksual terhadap kanak-kanak, beliau berkata, Kelantan merekodkan 128 kes rogol bawah umur pada 2024, berbanding Selangor 288 kes, Sabah 207 kes dan Johor 198 kes.

Manakala bagi kategori eksploitasi seksual kanak-kanak, Kelantan kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, tidak merekodkan sebarang kes.

Beliau berkata, bagi penderaan fizikal terhadap kanak-kanak, Kelantan merekodkan 22 kes berbanding Selangor 441 kes dan Johor 148 kes, manakala bagi penculikan kanak-kanak serta kecuaian terhadap kanak-kanak di bawah jagaan, Kelantan tidak merekodkan sebarang kes pada tahun 2024.

Menyentuh isu penyalahgunaan dadah, Mohamed Fadzli berkata Kelantan merekodkan 1,513 kes bekalan dadah, lebih rendah berbanding Selangor yang merekodkan 2,716 kes.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa isu dadah tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya mesti ditangani melalui pendekatan pencegahan, pendidikan, penguatkuasaan dan pemulihan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, bagi isu HIV/AIDS, jawapan Kementerian Kesihatan di Dewan Negara menunjukkan Selangor merekodkan 1,085 kes baharu HIV sebanyak 4.1 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 365 kes iaitu 11.4 peratus serta Sabah 344 kes bersamaan dengan 10.8 peratus.

Tambahnya, statistik Kementerian Kesihatan bagi tahun 2023 pula menunjukkan Kelantan merekodkan 93 kes HIV, jauh lebih rendah berbanding Selangor 1,062 kes, Kuala Lumpur 357 kes, Sabah 320 kes, Pulau Pinang 256 kes, Sarawak 248 kes, Johor 236 kes, Pahang 140 kes dan Perak 125 kes.

“Penggunaan data secara terpilih (cherry-picking) bagi membina naratif politik, sambil mengabaikan keseluruhan statistik rasmi yang diterbitkan oleh agensi kerajaan, merupakan amalan yang tidak bertanggungjawab.

“Pendekatan sedemikian bukan sahaja mengelirukan masyarakat, malah boleh menjejaskan integriti wacana awam serta usaha bersama dalam menangani isu-isu sosial,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/7/2026

- Advertisement -