
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, Sanisvara Nethaji Rayer Rajaji Rayer atau RSN Rayer disifatkan berniat jahat dan telah membina persepsi politik serta melakukan fitnah dengan menggunakan Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari merujuk perbahasan Rayer dalam isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilihat bermotif dan berkepentingan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya tuduh Rayer bahawa Kelantan sebagai negeri mempunyai kes jenayah seksual tertinggi melibatkan golongan bawah umur adalah tidak berasas, malah disanggah sepenuhnya oleh data rasmi yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.
Bidasnya wakil rakyat DAP itu memilih menyerang Kelantan secara terpilih dengan hanya bersandarkan artikel bertajuk “Kelantan and sexual crimes against children: no solution in sight” diterbitkan portal Free Malaysia Today (FMT) pada 27 Mei 2026.
Beliau berkata, artikel yang dijadikan hujah utama Rayer itu langsung tidak mengandungi sebarang jadual, angka mahupun statistik rasmi yang memperakui dakwaan berkenaan.
Sebaliknya kata Ahmad Fadhli, artikel itu hanya menghimpunkan beberapa kes berprofil tinggi lama sebelum membuat kesimpulan umum yang prejudis terhadap seluruh negeri Kelantan.
“Sebuah artikel yang tidak mengandungi statistik rasmi seperti ini boleh dijadikan hujah oleh seorang Ahli Parlimen? Dan seperti biasa, ketika ahli-ahli parlimen pembangkang bangun meminta laluan, ia tidak dibenarkan,” bidasnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli mendedahkan bahawa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2025 yang menggunakan data sahih daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Laporan rasmi itu secara jelas memaparkan angka mengikut negeri demi negeri yang menolak dakwaan Rayer semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 itu semalam.
“Statistik rasmi pada muka surat 133 sendiri telah menolak dakwaan beliau. Bagi jenayah seksual melibatkan mangsa berumur 18 tahun dan ke bawah pada tahun 2023, Selangor mencatatkan 368 kes, diikuti Sabah 215 kes, Johor 200 kes, Kedah 172 kes.
“Kelantan hanya 124 kes. Kelantan bukan negeri tertinggi, malah berada di belakang empat negeri lain,” ujar beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.
Berdasarkan data komprehensif DOSM bagi kesalahan seksual kanak-kanak pada tahun 2024 (muka surat 131), Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 438 kes, diikuti Johor (271 kes), Perak (184 kes) dan Sabah (155 kes)
Manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (140 kes), Pulau Pinang (119 kes), Melaka (108 kes), Kedah (102 kes), manakala Kelantan pula sekadar mencatatkan 91 kes.
Beliau mempersoalkan motif sebenar Ahli Parlimen Jelutong yang melakukan taktik penyerongan data (cherry-picking) semata-mata demi membina naratif politik bagi meraih sokongan pengundi di Johor.
Ini persoal Ahmad Fadhli, memandangkan terdapat sekurang-kurangnya lapan buah negeri lain yang mempunyai statistik kes lebih tinggi daripada Kelantan.
Selain isu seksual, turut dibentangkannya data penderaan fizikal kanak-kanak (muka surat 130) yang menyaksikan Selangor mendahului dengan 308 kes, Johor (107 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (64 kes), Pulau Pinang (55 kes) dan Perak (49 kes), berbanding Kelantan yang hanya mencatatkan 17 kes.
“Jika logik Ahli Parlimen Jelutong ialah sesebuah negeri boleh dilabel berdasarkan statistik jenayah, adakah beliau juga sanggup melabel Selangor sebagai negeri paling buruk dalam penderaan fizikal kanak kanak?
“Sudah tentu tidak. Kerana itu bukan cara statistik digunakan. Beliau hanya memilih data yang sesuai dengan naratif politiknya,” tegas beliau.
Malah, bagi kesalahan buang bayi tahun 2023 (muka surat 135), Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 38 kes, Sabah (21 kes), Johor (14 kes), Kedah (10 kes), manakala Kelantan merekodkan 7 kes, menyamai Pahang dan Terengganu.
Bagi kes penculikan kanak-kanak tahun 2024 pula (muka surat 136), daripada 11 kes di seluruh negara, Selangor merekodkan 4 kes, Johor (2 kes), Terengganu (2 kes), manakala Kelantan bebas daripada sebarang kes.
Beliau menyelar tindakan mengeksploitasi penderitaan mangsa jenayah seksual kanak-kanak sebagai modal kempen politik menjelang PRN Johor.
Tegasnya, isu keselamatan kanak-kanak adalah isu nasional yang merentasi sempadan kepartian dan geografi, bukannya hak eksklusif mana-mana parti politik seperti PAS mahupun Pakatan Harapan (PH).
Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mendesak agar Ahli Parlimen Jelutong menarik balik dakwaan berkenaan dan memohon maaf secara terbuka kepada Dewan Rakyat kerana telah bertindak mengelirukan dewan yang mulia dengan kenyataan berniat jahat tanpa sokongan data rasmi negara. – HARAKAHDAILY 30/6/2026











