Pengalaman EXCO kelebihan Mazlan khidmat di Kahang

- Advertisement -

KLUANG: Pengalaman sebagai bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Johor menjadi kelebihan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi kerusi N.31 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang, Mazlan Bujang.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad yakin untuk Mazlan membawa suara rakyat dan memperjuangkan kebajikan penduduk sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 (PRN16 Johor).

Menurut beliau, pengalaman luas Mazlan dalam pentadbiran kerajaan negeri membolehkannya memahami selok belok pengurusan kerajaan, sekali gus membantu menyelesaikan pelbagai isu rakyat dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, pengundi DUN Kahang wajar memberikan kepercayaan kepada calon PERIKATAN NASIONAL yang diwakili PAS kerana memiliki pengalaman, latar belakang dan kelayakan untuk memikul amanah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Mazlan diharapkan dapat membawa suara rakyat serta menjadi perantara antara rakyat dengan agensi kerajaan dan pihak swasta. Supaya segala masalah dihadapi rakyat dapat didengari dan diberikan perhatian oleh pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya ketika menemui Mazlan di sini.

Ahli Parlimen Bagan Serai itu menjelaskan, pengalaman Mazlan sebagai bekas EXCO merupakan nilai tambah kerana beliau memahami proses pentadbiran kerajaan dan saluran yang sesuai untuk menyampaikan keperluan rakyat kepada pihak berkaitan.

Ustaz Idris yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Perak juga berkata, kelebihan itu mampu dimanfaatkan bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan penduduk dapat ditangani secara lebih tersusun dan berkesan.

Dalam pada itu beliau berpandangan, walaupun PAS hanya bertanding di beberapa kerusi pada PRN Johor kali ini, parti itu tetap komited memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif demi memastikan kepentingan rakyat terus dipelihara.

“Kita mahu menjadi pembangkang yang konstruktif dengan memberikan teguran serta cadangan yang membina berdasarkan pengalaman mentadbir kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata yang berpengalaman sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) turut mempunyai Lajnah Kebajikan yang sentiasa aktif mendekati masyarakat walaupun tidak berada dalam kerajaan.

Menurutnya, pasukan itu terus melaksanakan kerja kebajikan dengan turun padang bertemu rakyat bagi mengenal pasti masalah penduduk serta membantu mencari jalan penyelesaian.

“Sekiranya Mazlan dipilih sebagai ADUN Kahang, usaha membantu rakyat akan menjadi lebih tersusun melalui kerjasama rapat bersama pasukan Lajnah Kebajikan.

“Segala permasalahan rakyat akan terus disuarakan kepada pihak yang bertanggungjawab dan kita akan berusaha membantu mencari jalan penyelesaian dengan baik serta teratur,” ujarnya.

Mengulas mengenai hari pengundian, Idris mengingatkan pengundi supaya menunaikan tanggungjawab mengundi pada 11 Julai dengan memilih calon PERIKATAN NASIONAL.

Beliau turut mengingatkan bahawa nama Mazlan berada pada kotak undi nombor tiga.

“Anak-anak muda, baliklah ke kampung. Beritahu rakan-rakan, kakak dan abang supaya kita membuat perubahan dengan memilih calon baharu untuk mewakili penduduk Kahang.

“Jangan bazirkan undi anak anak muda kerana merekalah bakal pewaris yang akan menentukan masa depan negara,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mazlan diumumkan sebagai calon PAS mewakili PERIKATAN NASIONAL bagi kerusi N.31 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kahang pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN16 Johor).

Beliau akan berdepan calon BN, V. Rugendran dan calon PH, Imam Sabri dalam pertandingan tiga penjuru bagi merebut kerusi berkenaan. – HARAKAHDAILY 30/6/2026

- Advertisement -