PAS fokus untuk PH dikalahkan di semua kerusi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyatakan dengan tegas bahawa fokus dan kerahan kepada seluruh jentera dan penyokongnya dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 Johor adalah untuk memastikan Pakatan Harapan (PH) tewas di semua kerusi.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan, dalam tempoh dua minggu berkempen, PAS akan memperincikan pendekatan dengan meneliti kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) secara satu per satu.

Langkah itu kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, termasuklah merangka pelan tindakan khusus di kawasan-kawasan yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN) dan PH.

“Kita (PAS) akan menggerakkan pengundi untuk tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan dalam apa jua keadaan sekalipun, tidak ada undi kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRN ini.

“Kita teliti semua 56 kerusi DUN Johor ‘seat by seat’, termasuk di kerusi yang menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Jadi apabila Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bertembung, kita tidak ada undi untuk Pakatan Harapan. Kalau tak bertembung pun, memang tidak ada undi untuk Pakatan Harapan,” tegasnya.

Beliau turut menambah, ketetapan terbaharu itu adalah sebahagian daripada lima perkara utama yang dibincangkan, termasuk menggerakkan persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Ketetapan tersebut juga jelasnya, selari dan tidak bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Tuan Guru Presiden PAS serta Dato’ Sri Timbalan Presiden PAS sebelum ini.

Ditanya satu situasi contoh di DUN Puteri Wangsa yang menyaksikan PH serta MUDA mempertaruhkan calon Melayu-Muslim, manakala BN meletakkan calon bukan-Islam daripada MCA, Ahmad Fadhli mengesahkan arahan ‘sekat PH’ itu tetap terpakai.

“Sudah tentu arahan itu terpakai dengan kita tidak memberikan undi kepada PH. Jadi nak undi siapa? Itu kita akan tengok dalam masa seminggu dua ini (pendekatan itu), kita akan pastikan Pakatan Harapan dapat dikalahkan,” jelas beliau.

Ahmad Fadhli turut mengulas tuduhan pihak lawan yang cuba memainkan isu kononnya PAS tidak konsisten dalam perjuangan mengangkat pemimpin Melayu-Islam kerana sanggup memenangkan calon bukan Islam daripada BN.

Beliau dengan jelas menyanggah persepsi tersebut dengan meminta semua pihak melihat realiti landskap politik Malaysia menerusi penilaian yang dilakukan secara objektif.

Beliau menjelaskan bahawa sistem demokrasi negara ini tidak sekadar menilai latar belakang individu calon semata-mata, sebaliknya melihat kepada parti yang bakal membentuk kerajaan.

“Kita lihat kepada kita dalam sistem demokrasi di Malaysia ini, dia melihat kepada bukan sekadar calon semata-mata, tetapi bagaimana parti itu memberikan sokongan kepada kerajaan yang ada.

“Sebagai contoh, calon Pakatan Harapan walaupun mungkin dia seorang ustaz sekalipun, tapi kita tahu bahawa dia akan memberikan sokongan kepada pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan, sama ada di negeri ataupun di peringkat negara.

“Tapi katalah calon itu daripada Barisan Nasional yang mungkin seorang non-Muslim, tetapi kita tahu bahawa dia akan membantu kepada pembentukan sebuah kerajaan ditunjang oleh Melayu-Islam.

“Kita tahu bahawa Barisan Nasional akan membentuk kerajaan yang dipimpin oleh Melayu-Islam, maka kita boleh memberikan sokongan. Jadi kita perlu bersifat dan melihat secara objektif dalam isu-isu seperti ini,” ulasnya.

Ahmad Fadhli turut menyatakan bahawa jentera parti tidak perlu terburu-buru (rushing) dalam menentukan ke mana arah undi penyokong PAS dan Perikatan Nasional (PN) akan disalurkan di kerusi-kerusi sedemikian.

PAS katanya, akan menilai semua pilihan yang ada, termasuk kemungkinan memberikan undi kepada calon alternatif lain yang dirasakan mempunyai peluang lebih cerah untuk menumbangkan PH.

“Di situ (di kerusi tertentu) ada calon Melayu daripada parti MUDA dan juga calon Melayu daripada Pakatan Harapan, dan selain daripada dua itu ialah mereka daripada non-Muslim.

So, kita akan kaji setakat manakah kita boleh menggerakkan penyokong-penyokong PAS dan juga Perikatan Nasional untuk memberikan undi bagi mengalahkan Pakatan Harapan.

“Dalam kajian ini, dia tidak perlu dalam saya rasa tidak perlu ‘rushing’, kita masih ada dua minggu lagi menjelang pengundian. Jadi jangan bimbang, yang penting bukan untuk Pakatan Harapan.

“Tapi ketegasan kita ialah untuk mengalahkan Pakatan Harapan. Kita akan kaji, sama ada adakah berbaloi kita berikan undi kepada Barisan Nasional dalam keadaan mungkin berikan undi pun dia tak menang.

“Ataupun boleh jadi (pilihan) kita akan bagi undi kepada calon-calon yang lain yang boleh mengalahkan Pakatan Harapan,” katanya menerangkan alternatif-alternatif tersedia.

Apabila ditanya sama ada mesyuarat tersebut turut melibatkan perbincangan khusus mengenai implikasi hubungan politik dengan BERSATU, Umno, mahupun Barisan Nasional, Ahmad Fadhli tidak menafikannya.

“Perbincangan sudah tentu berkait-berkait dengan BERSATU, berkait dengan Umno, Barisan Nasional Malaysia, (hatta isu perang) Iran (dan) World Cup dan semua itu… itu, itu biasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/6/2026

- Advertisement -
- Advertisement -