
SANDAKAN: Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, menegaskan bahawa kewujudan parti itu adalah berasaskan kesyumulan Islam yang membawa pendekatan menyeluruh dalam membina kehidupan umat berlandaskan ajaran Allah SWT.
“PAS merupakan sebuah gerakan Islam yang lengkap kerana menggabungkan aspek tarbiah, dakwah, kebajikan dan siyasah dalam usaha melahirkan masyarakat yang hidup berteraskan nilai-nilai Islam.
“PAS menawarkan pakej kesempurnaan Islam yang mendidik umat agar memiliki kehidupan rabbani dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebelum membawa penghayatan tersebut ke dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung Tahunan PAS Zon Sandakan di Taman Anggerik, dekat sini, semalam. (Foto atas)
Tambahnya, usaha membina generasi Islam bermula sejak usia kanak-kanak melalui institusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang memberikan penekanan kepada pendidikan akidah, pengenalan terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW sebagai asas pembentukan sahsiah.
“Kesinambungan pendidikan itu diteruskan melalui Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) yang membawa pendekatan kesyumulan Islam dalam melahirkan generasi berilmu, beriman dan berakhlak,” ujarnya.
Di samping itu, tambahnya, warga PAS sentiasa berkhidmat kepada masyarakat sepanjang masa melalui pelbagai program pendidikan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan tanpa menunggu musim pilihan raya.
“PAS turut menggerakkan pelbagai entiti kebajikan untuk membantu rakyat yang ditimpa bencana, kesusahan dan kesempitan hidup tanpa mengira latar belakang serta tanpa mengaitkan bantuan dengan kepentingan politik.
“Penyertaan PAS dalam pilihan raya merupakan sebahagian daripada saluran demokrasi yang sah bagi menawarkan kepimpinan Islam setelah usaha memenangi hati rakyat dilakukan secara berterusan melalui khidmat kepada masyarakat,” jelasnya yang juga ADUN Karambunai.
Selain itu, ujarnya proses tarbiah yang konsisten telah melahirkan kepimpinan PAS yang beramanah, berintegriti, menjauhi salah guna kuasa serta sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dalam setiap amanah yang dipikul.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat agar bersatu dan memberikan peluang kepada PAS untuk menawarkan kepimpinan yang mulia, berakhlak, amanah serta berpandukan kesyumulan Islam demi menjamin kesejahteraan Sabah dan Malaysia. – HARAKAHDAILY 29/6/2026











