
KUALA LUMPUR: PAS menegaskan bahawa parti Islam itu sentiasa mengamalkan dasar pintu terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat yang berhasrat untuk bersama-sama mendukung wadah serta prinsip perjuangannya.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, PAS tidak meletakkan proses tapisan yang rigid pada peringkat awal kemasukan, sebaliknya memilih untuk memberi ruang dan peluang seluas-luasnya kepada orang awam sebelum mereka dibimbing secara berperingkat.
Beliau menjelaskan, pendekatan inklusif itu membolehkan PAS berkembang pesat sebagai gerakan massa (Harakatul Ummah) yang berjaya menyatukan kepelbagaian latar belakang daripada golongan pekerja sektor asas hingga kelompok profesional bertaraf teknokrat.
“PAS ialah sebuah parti yang terbuka kepada semua yang berminat untuk bersama perjuangannya. Sesiapa sahaja yang memenuhi syarat sebagai warganegara Malaysia, beragama Islam dan telah aqil baligh boleh memohon menjadi ahli PAS.
“Permohonan boleh dibuat melalui cawangan-cawangan PAS atau terus di Pejabat Agung PAS Pusat. Ada yang bertanya, “Mudahnya masuk PAS, tiada tapisan yang ketat?” Jawapannya, PAS berpandangan bahawa sesiapa yang ingin bersama perjuangan dengan PAS, perlu diberi ruang dan peluang.
“PAS menerima mereka terlebih dahulu, kemudian membimbing dan memberikan kefahaman tentang perjuangan Islam melalui proses dakwah dan tarbiyah yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan khas hari ini.
Kenyataan mengenai keterbukaan keahlian PAS ini menyusul selepas merekodkan lonjakan drastik permohonan keahlian baharu di seluruh negara sepanjang pertengahan tahun 2026.
Aliran peningkatan ini berlaku pasca-tindakan berani pimpinan tertinggi PAS menstruktur semula haluan politiknya di peringkat pusat, selain keberkesanan siri jelajah penerangan dasar yang digerakkan secara agresif di peringkat akar umbi.
Pelbagai pihak sebelum ini sering mempersoalkan tahap fleksibiliti PAS dalam menerima ahli awam memandangkan parti itu terkenal dengan disiplin organisasi dan penekanan tarbiyah yang ketat.
Penjelasan ini sekali gus menepis persepsi bahawa PAS sebuah parti yang bersifat eksklusif atau sukar disertai oleh kelompok masyarakat biasa.
Falsafah ‘Hospital’ Almarhum Ustaz Harun Taib
Idris turut mengimbas kembali pesanan mutiara pernah ditinggalkan bekas Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Almarhum Ustaz Dato’ Harun Taib, bagi menggambarkan falsafah sebenar di sebalik keterbukaan parti itu.
Beliau mengibaratkan peranan PAS tidak ubah seperti sebuah institusi perubatan yang memfokuskan kepada agenda pemulihan, bimbingan, serta pembentukan sahsiah manusia tanpa mengira darjat atau status lampau mereka.
“Saya teringat pesanan Almarhum. Beliau pernah berkata bahawa PAS ibarat sebuah hospital. Semua orang yang sakit dan ingin mendapatkan rawatan diterima tanpa memilih latar belakang atau kedudukan mereka.
“Tugas hospital ialah merawat dan pemulihkan pesakit. Begitulah juga PAS yang berusaha membimbing manusia ke arah kebaikan dan perjuangan Islam,” ujarnya.
Mengulas mengenai struktur keahlian masa kini, beliau mengesahkan kepelbagaian demografi yang wujud dalam saf parti telah menjadi tunjang utama kepada daya tahan PAS dalam mendepani cabaran politik tanah air.
Formula penyatuan antara golongan agamawan, teknokrat, dan sukarelawan lapangan disifatkan sebagai pemacu utama yang memastikan gerak kerja parti kekal relevan dan seimbang.
“Atas dasar keterbukaan inilah PAS berkembang sebagai Harakatul Ummah ,gerakan massa yang merangkul seluruh lapisan masyarakat.
“Dalam PAS terdapat ahli daripada pelbagai latar belakang; daripada petani, nelayan dan peniaga kecil hinggalah kepada golongan profesional, doktor pakar, jurutera, peguam, pensyarah serta pemegang PhD.
“Kekuatan PAS terletak pada gabungan unik antara ulama, profesional dan amilin yang bekerja dalam satu saf perjuangan. Gabungan inilah menjadi rahsia kekuatan PAS terus berperanan sebagai gerakan dakwah, tarbiyah dan siasah yang istiqamah memperjuangkan Islam demi agama, bangsa dan negara,” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











