
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) secara rasmi meluluskan permohonan dua parti politik, iaitu PEJUANG dan PCM sebagai parti anggota gabungan itu yang baharu.
Ketetapan itu dicapai dalam satu Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi PN yang berlangsung selama dua jam bermula jam 9.30 malam dan berakhir kira-kira jam 11.30 malam tadi.
Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mesyuarat khas dengan kehadiran penuh wakil semua parti komponen termasuk PAS, BERSATU, GERAKAN, dan MIPP hanya memfokuskan kepada dua agenda utama.
“Agenda yang pertama ialah berkenaan dengan keanggotaan PN dan yang kedua ialah berkenaan dengan Pilihan Raya Negeri Johor,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Pejabat Agung PAS, di sini.
Mengulas mengenai agenda kedua, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa perbincangan itu menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor secara khusus serta persediaan bagi PRN Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan, Majlis Tertinggi bersetuju memuktamadkan agihan kerusi melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh yang sesingkat mungkin.
“Saya dimaklumkan bahawa sudah mendapat persetujuan ahli-ahli mesyuarat yang dipilih untuk mewakili parti untuk rundingan kerusi ini akan bermesyuarat pada hari esok.
“Insya-Allah ianya dapat diselesaikan dalam tempoh yang segera sebelum yang paling mustahak ialah untuk kita hadapi penamaan calon pada hari Sabtu nanti di negeri Johor,” jelas beliau.
Sanusi teraju rundingan kerusi
Ketika ditanya mengenai mekanisme rundingan berkenaan, Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa setiap parti komponen akan menghantar dua orang wakil ke dalam jawatankuasa perundingan tersebut.
Rundingan kritikal itu akan diketuai oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang juga Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan senarai nama wakil yang dihantar oleh setiap parti komponen demi kelancaran proses perbincangan.
“Ada tapi saya rasa saya tak akan sebut di sinilah sebab esok kan… masing-masing cari dia orang pula satu hal pula jadi biarlah tertumpu pada seorang saja iaitu Dato’ Seri Sanusi.
“Jadi kalau hangpa mahu pergi cari Dato’ Seri Sanusi, ha,” seloroh beliau kepada pengamal media yang hadir.
Mengenai parti komponen berhasrat menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya akan datang, beliau menyatakan perkara itu belum diperincikan dan akan dibawa ke meja rundingan sesama parti.
Suasana mesyuarat harmoni, bebas bersuara
Ketika diminta mengulas mengenai dinamika mesyuarat bersama kepimpinan tertinggi termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin, Samsuri menyifatkan suasana perbincangan berlangsung dalam keadaan yang sangat harmoni dan membina.
“Suasana yang… sangat harmoni. Perbincangan masing-masing boleh mengutarakan pandangan masing-masing dengan bebas, tidak ada sekatan. Boleh bersuara dengan apa jua cara sekalipun, jadi saya rasa suasana perbincangan yang… yang membina, insya-Allah,” katanya.
Beliau menambah, perbezaan pandangan dalam mana-mana mesyuarat adalah satu lumrah politik, namun apa yang paling utama adalah kesepakatan yang dicapai secara kolektif demi hala tuju parti.
“Perbincangan diadakan dan memang dalam… sebab itulah mesyuarat, apa-apa agenda pun kita mendapatkan semua pandangan-pandangan dan ada yang pandangan yang sama, ada yang berbeza, itu perkara biasa dalam mana-mana mesyuarat.
“Tapi akhirnya kita dibuat suatu keputusan, saya jadi saya nak kita bergerak ke hadapan ialah di atas keputusan itulah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/6/2026















