
KUALA LUMPUR: PAS berharap mesyuarat Perikatan Nasional (PN) malam ini membuka ruang seluas-luasnya bagi merealisasikan hasrat penyatuan ummah melalui penerimaan kemasukan pihak yang ingin bersama gabungan itu.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, keputusan mesyuarat itu penting bagi memperkukuhkan agenda penyatuan ummah yang dibawa PAS dan PN.
“Tujuan mesyuarat pada malam ini tidak lain dan tidak bukan untuk kita menyatakan sepertimana yang telah dibawa oleh PAS sejak daripada kita berjuang dahulu untuk menyatukan umat Islam di seluruh Malaysia bersama-sama untuk menentang kezaliman.
“Dalam masa yang sama kita menerima juga daripada bukan Islam yang tidak ekstrem, itulah yang dibawa oleh Tuan Guru Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada himpunan di hadapan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut yang berlangsung ketika Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) diadakan, malam ini.
Muhammad Hanif turut mengucapkan penghargaan kepada semua yang hadir, khususnya penyokong PAS, bagi menunjukkan kebersamaan dan kesungguhan dalam memastikan PN terus berjalan dengan baik.
Jelas beliau, kehadiran mereka juga sebagai tanda sokongan kepada Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, selain mendoakan agar perjalanan mesyuarat berlangsung lancar seperti dirancang.
Beliau menjelaskan, PN mengalu-alukan kemasukan mana-mana pihak yang ingin bersama gabungan itu demi menjayakan agenda penyatuan ummah dan memberikan kemenangan kepada PN.
“Sesiapa sahaja yang bersama dengan PN, kita mendoakan dan kita mengharapkan penerimaan kemasukan parti-parti yang ingin bersama dengan kita bagi menunjukkan kebersamaan menjayakan penyatuan ummah ini.
“Bagi yang tidak berhasrat, bagi yang merasakan bahawa PN ini hanya milik mereka, maka sudah pastinya kita tidak mengalu-alukan di dalam PN ini,” tegas beliau.
Menurutnya, kemasukan pihak yang ingin bersama PN penting bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, selain kemungkinan PRN Melaka pada masa hadapan.
Beliau turut menyifatkan keputusan mesyuarat malam ini sebagai amat penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.
“Dan yang paling terkini, kita yakin dengan penurunan diesel RM2.10 ini, ia menunjukkan bahawa berkemungkinan PRU akan tiba tidak lama lagi, insya-Allah.
“Keputusan pada malam ini sangat penting. Penyatuan ummah yang dibawa oleh PAS dan PN pada malam ini sangat penting untuk menunjukkan jalan keluar bagi Pakatan Harapan dan sekutu-sekutu yang ingin bersama dengannya daripada memerintah Malaysia,” ulasnya.
Muhammad Hanif berkata, semua pihak dalam PAS akan menerima dan mendukung apa sahaja keputusan yang diumumkan selepas mesyuarat itu.
“Yang pasti bagi kita semua yang hadir baik daripada Pemuda PAS, daripada Muslimat PAS, daripada seluruh jentera PAS, apa sahaja keputusan yang dikeluarkan pada malam ini kita akan dukung bersama.
“Kita akan gerakkan secara bersama. Kita menunjukkan kesetiaan dan kekuatan kita secara bersama untuk melaksanakan dan merealisasikan apa sahaja bentuk keputusan yang akan diumumkan oleh Pengerusi PN pada malam ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/6/2026











