Madani tak ambil pengajaran dari penolakan rakyat

Budaya kes Azlan direhatkan, faktor rakyat tolak Umno BN

- Advertisement -

AYER KEROH: Budaya politik sebegini pernah menjadi antara faktor utama yang menyebabkan rakyat menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya lalu, menurut Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Beliau berkata demikian dipercayai susulan tindakan merehatkan pengulas sukan RTM, Azlan Johar, yang dikatakan berlaku selepas beliau dikaitkan dengan penyertaan dalam PAS.

Bakri menjelaskan, ramai pihak melihat tindakan itu sebagai satu langkah ke belakang yang menghidupkan semula budaya politik lama berasaskan ugutan, tekanan dan pemecatan terhadap individu yang mempunyai pandangan berbeza.

- Advertisement -

Bakri berkata, keputusan menggugurkan Azlan Johar daripada tugas sebagai pengulas Piala Dunia menimbulkan persoalan besar mengenai komitmen kerajaan terhadap prinsip kebebasan bersuara dan keterbukaan pandangan dalam sebuah negara demokrasi.

“Ironinya, kerajaan hari ini sering melaungkan slogan reformasi, keadilan dan kebebasan bersuara.

“Namun apabila kritikan atau pandangan yang tidak sehaluan muncul, tindakan yang diambil seolah-olah bertentangan dengan semangat yang diperjuangkan,” tempelak beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka dalam satu kenyataan.

Perkara itu, jelas Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu itu, menimbulkan persepsi bahawa, kebebasan bersuara hanya diraikan apabila ia memihak kepada kerajaan.

Dalam sebuah negara demokrasi yang matang, beliau menegaskan perbezaan pandangan tidak wajar dijawab dengan pemecatan atau tekanan.

Sebaliknya terang beliau, perbezaan pandangan itu perlu diraikan sebagai sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menyuburkan demokrasi.

“Kritikan yang membina bukan ancaman kepada kerajaan, tetapi peluang untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pentadbiran,” ulasnya.

Bakri turut menyuarakan kebimbangan apabila ketika rakyat berdepan pelbagai cabaran seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, isu perumahan dan ketidaktentuan ekonomi, kerajaan dilihat lebih cenderung bersikap defensif serta menyerang pihak pembangkang.

Beliau menegaskan bahawa, keadaan itu mewujudkan persepsi kerajaan lebih sibuk menguruskan naratif politik berbanding menyelesaikan masalah rakyat.

“Rakyat memilih kerajaan untuk mentadbir dan menyelesaikan masalah negara, bukannya untuk terus berpolitik seperti pembangkang,” tegasnya.

Beliau menegaskan kerajaan yang yakin dengan prestasi tidak perlu takut kepada kritikan, sebaliknya wajar menjawab hujah dengan hujah, fakta dengan fakta dan prestasi dengan prestasi.

Tambahnya, kebebasan bersuara bukan sekadar slogan kempen, sebaliknya mesti diterjemahkan dalam tindakan dan dasar.

Jika tidak, beliau mengingatkan rakyat akan melihat bahawa yang berubah hanyalah wajah pemerintah, sedangkan budaya politik lama masih terus dipertahankan.

“Demokrasi yang sihat bukan diukur melalui sejauh mana kerajaan dipuji, tetapi sejauh mana kerajaan bersedia menerima kritikan,” katanya.

Terdahulu, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar memaklumkan bahawa, tugasnya sebagai pengulas Piala Dunia 2026 di Radio Televisyen Malaysia direhatkan selepas beliau menyertai PAS.

Beliau berkata, pada awalnya dijadualkan mengulas sembilan perlawanan, namun diminta berhenti selepas satu siaran dan dimaklumkan keputusan itu berkait dengan keahliannya dalam PAS.

Azlan meluahkan rasa sedih, tetapi menerima keputusan tersebut secara profesional, sambil berterima kasih kepada RTM.

Mengulas mengenai penyertaannya dalam PAS, Azlan berkata keputusan tersebut dibuat atas kerelaan sendiri selepas mengenali Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sejak sekian lama. – HARAKAHDAILY 20/6/2026

- Advertisement -