
KUALA LUMPUR: Paranoid seorang senator daripada DAP yang memberi persepsi bahawa usaha dakwah Islam kepada masyarakat bukan Islam di universiti sebagai satu bentuk manipulasi adalah tidak tepat.
Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat, Senator Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pandangan itu sebaliknya menzahirkan ketakutan melampau yang lahir daripada dakyah Islamofobia dirancang musuh Islam.
Jelasnya, dakwah Islam dihiasi dengan hikmah yang tinggi, menghormati hak serta kebebasan memilih dan beragama, selain membuka ruang perbincangan dalam wacana paling bermanfaat untuk kehidupan seluruh manusia.
“Keterbukaan dan kebebasan untuk mendengar, menghujah serta mengkritik Islam dalam usaha dakwah adalah bukti ia bukan satu manipulasi yang mengandungi unsur paksaan,” ujar beliau kepada HarakahDaily hari ini.
Reaksi itu susulan peringatan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam yang mahu institusi pengajian tinggi awam kekal neutral, inklusif dan tidak dijadikan medium menggalakkan penukaran agama kerana ia milik semua rakyat Malaysia.
“Institusi pendidikan awam di Malaysia adalah milik semua rakyat tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang. Justeru, institusi ini tidak wajar sama sekali dimanipulasi atau dieksploitasi sebagai platform untuk menggalakkan penukaran agama.
“Sama ada secara langsung atau melalui pemberian insentif, keistimewaan atau sebarang bentuk galakan, tindakan sedemikian boleh menimbulkan persepsi yang tidak sihat.
“Perbuatan sedemikian merupakan satu bentuk penyalahgunaan institusi awam yang sepatutnya kekal neutral, inklusif dan menghormati kepelbagaian masyarakat Malaysia,” dakwa Lingeshwaran dalam kenyataan yang dilaporkan media tempatan.
Kenyataan itu dibuat susulan kontroversi poster pendaftaran saudara baharu (mualaf) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), yang kemudian dijelaskan oleh pihak universiti sebagai tidak pernah diluluskan atau disebarkan melalui saluran rasmi.
Walau bagaimanapun, Nik Mohamad Abduh menyatakan bahawa, kerajaan di negara Barat yang sekular memberikan kebebasan kepada rakyat tanpa mengira agama untuk mengadakan wacana dan perbincangan agama di mana-mana selagi ia berlangsung secara aman dan sejahtera.
Apatah lagi tegas beliau, Malaysia melalui Perlembagaannya meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan serta menjamin kedudukan dan ketinggiannya melalui kebebasan berdakwah kepada seluruh rakyat.
Terang Ahli Dewan Negara daripada Kelantan itu, sifat dakwah Islam adalah harmoni, berhikmah serta menggalakkan kebebasan berfikir, berhujah dan membuat pilihan.
“Ia secara sendirinya menolak sebarang unsur kekerasan, paksaan, provokasi dan apa jua kelakuan yang menghina dan memburukkan agama dan pegangan agama selainnya,” tegas beliau.
Mengulas peranan institusi pengajian tinggi, beliau menjelaskan, universiti adalah antara tempat terbaik untuk aktiviti dakwah Islamiah sama ada dalam kalangan umat Islam mahupun kepada masyarakat bukan Islam.
“Ia kerana universiti berperanan menggalakkan manusia menggunakan akal fikiran di dalam memajukan diri, masyarakat dan negara. Manakala agama Islam pula mewajibkan umatnya memperkenalkan Islam sebagai agama wahyu yang menerangi dan membina upaya akal.
“Maka usaha dakwah di universiti adalah paling sesuai dan terbaik agar Islam dikenali kebenaran dan kebaikannya melalui perbincangan dan penghujahan terbuka,” katanya.
Dalam masa yang sama Nik Mohamad Abduh juga menyeru umat Islam agar menyiapkan diri dengan ilmu Islam yang mencukupi agar mampu menjadi duta dakwah kepada seluruh manusia kerana Islam adalah rahmat kepada sekalian alam. – HARAKAHDAILY 19/6/2026











