
SANDAKAN: Kemenangan calon daripada PAS menerusi Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Pilihan Raya Negeri Sabah, November lalu telah membuka lembaran baharu dalam landskap politik negeri ini.
Menurut Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain berkata, kemenangan itu sekali gus menuntut kesiapsiagaan yang lebih mantap daripada seluruh jentera parti menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Tambahnya, kemenangan Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan di Karambunai itu merupakan titik perubahan penting bagi PAS Sabah.
“Namun, kejayaan ini juga membawa cabaran yang lebih besar untuk kita terus memperkukuh pengaruh dan penerimaan rakyat menjelang PRU16. Kita dalam PAS Negeri tidak akan berhenti.
“Kita akan terus bergerak berdasarkan pelan tindakan yang telah disusun bagi memastikan PAS Sabah terus melangkah ke hadapan menuju PRU16,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Bengkel Tips Penulisan Berita Berkesan Untuk PRU16 secara dalam talian, hari ini.
Bengkel anjuran Biro Penerangan dan Media Baharu PAS negeri yang disertai 30 Wartawan Rakyat Sabah itu dikendalikan oleh bekas Editor Harakahdaily, Azmi Yusof.
Mustaman juga menegaskan bahawa PAS negeri menetapkan sasaran untuk bertanding sekurang-kurangnya di tiga kerusi Parlimen strategik di seluruh Sabah pada PRU yang akan datang.
Di samping itu, tambahnya PAS negeri juga berusaha untuk menyumbang sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen bagi membantu PN membentuk kerajaan persekutuan.
“Perjuangan PAS akan digerakkan sepenuhnya oleh jentera tempatan tanpa bergantung kepada bantuan jentera luar seperti sebelum ini, selaras dengan semangat ‘100 Peratus Usaha Anak Sabah’ yang menjadi teras gerak kerja parti.
“Aspek pemerkasaan media dan penulisan mesti diberikan sepenuh perhatian sebagai elemen paling penting dalam mendepani cabaran politik semasa,” ujarnya lagi.
Justeru, beliau menyeru setiap penulis dan petugas media parti supaya mengamalkan disiplin menghasilkan sekurang-kurangnya satu laporan berita setiap minggu secara konsisten bagi memastikan aktiviti serta perkembangan parti dapat disampaikan kepada masyarakat secara berterusan.
“Saya mengharapkan para peserta untuk memperbanyakkan liputan terhadap program akar umbi seperti aktiviti PASTI, SRITI dan program-program kawasan bagi menonjolkan peranan PAS dalam masyarakat.
“Berita yang ditulis hendaklah menekankan kepentingan penghasilan berita yang mematuhi standard kewartawanan nasional supaya kandungan yang diterbitkan lebih profesional, berwibawa dan memberi impak kepada pembaca,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 20/6/2026











