
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan rombakan semula organisasi merupakan langkah penting untuk memperkukuh gabungan itu sebagai sebuah blok politik yang lebih tersusun dan bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi PN, Dr Rosni Adam berkata, perubahan yang dilakukan bukan sekadar pertukaran individu atau jawatan, sebaliknya usaha memperkemaskan organisasi serta memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi cabaran politik semasa.
“Perubahan ini bukan sekadar pertukaran nama atau jawatan, tetapi satu proses penstrukturan semula bagi memperkukuh PN sebagai gabungan politik yang lebih tersusun, lebih fokus dan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelantikan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merupakan langkah strategik bagi memperkemaskan jentera pilihan raya serta menyusun gerak kerja lapangan dengan lebih berkesan.
Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, pelantikan itu juga diyakini mampu menggerakkan kekuatan PN secara lebih bersepadu dalam menghadapi cabaran politik semasa.
Pada masa sama, beliau juga berkata, pelantikan Subramaniam Surunaryan sebagai Bendahari PN akan membantu memperkukuh aspek pentadbiran dan pengurusan organisasi gabungan tersebut.
“Fokus utama kita ialah memperkukuh jentera, menyantuni rakyat dan menawarkan kepimpinan yang stabil, bersih serta diyakini.
“Insya-Allah, penstrukturan semula ini menjadi langkah penting untuk memastikan PN lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang demi masa depan rakyat dan negara,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi PN, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran gabungan itu berkuat kuasa serta-merta sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, rombakan tersebut dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan Perikatan Nasional.
Dalam rombakan itu, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin diberhentikan daripada jawatan berkenaan dan digantikan oleh Dato’ Seri Muhammad Sanusi. – HARAKAHDAILY 19/6/2026











