
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengkritik strategi ketenteraan Israel di Lubnan, Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, dengan menyifatkannya sebagai pendekatan yang bukan sahaja gagal menjamin keselamatan jangka panjang negara itu, malah berisiko mencetuskan lebih banyak keganasan di seluruh Timur Tengah.
Dalam wawancara bersama penyiar France 2 pada Khamis, Macron berkata tindakan yang berterusan dilaksanakan oleh kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berpotensi menimbulkan rasa tidak puas hati yang mendalam dalam kalangan penduduk rantau berkenaan.
Menurut beliau, keselamatan Israel tidak boleh dicapai melalui penguasaan atau penaklukan wilayah negara jiran.
“Strategi (ketenteraan) yang terus dijalankan di Semenanjung Gaza, Tebing Barat dan selatan Lubnan, dalam jangka panjang, bertentangan dengan kepentingan Israel sendiri kerana ia mencetuskan rasa tidak puas hati dan keganasan dalam kalangan masyarakat di rantau (Timur Tengah) ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan kepentingan perjanjian damai baharu melibatkan Iran yang disifatkan sebagai langkah penting untuk kestabilan Lubnan dan rantau tersebut secara keseluruhan.
Bagaimanapun, Macron mengingatkan bahawa ketegangan melibatkan Iran masih belum berakhir sepenuhnya meskipun perjanjian berkenaan telah dimeterai.
Beliau berkata rantau itu kini memasuki fasa baharu yang memerlukan kerjasama dan dialog berterusan bagi mengelakkan konflik daripada kembali memuncak.
“Adalah lebih baik untuk mempunyai persetujuan daripada peperangan, terutama apabila terdapat risiko peningkatan ketegangan. Itulah yang sedang berlaku ketika ini,” katanya.
Macron turut menegaskan bahawa penyelesaian budi bicara politik adalah satu-satunya jalan yang mampan untuk menamatkan konflik berpanjangan di rantau berkenaan; bukan melalui perang dan pengeboman. – HARAKAHDAILY 19/6/2026











