Poster mualaf UPSI: Islamofobia dipupuk secara sistematik?

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kontroversi membabitkan poster ‘Pendaftaran Saudara Baharu (Mualaf)’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disifatkan sebagai manifestasi Islamofobia yang dipupuk secara sistematik sehingga mencetuskan prasangka dan ketakutan terhadap Islam dalam masyarakat.

Pengerusi Lajnah Pendidikan dan Pengajian Tinggi PAS Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz berkata, polemik yang tercetus bukan sekadar berkaitan sebuah program kampus, sebaliknya mencerminkan bagaimana persepsi negatif terhadap Islam dibentuk dan dinormalisasikan.

- Advertisement -

Menurutnya, poster berkenaan hanya memaparkan maklumat mengenai platform pendaftaran saudara baharu yang menyediakan sokongan moral, kebajikan dan bimbingan pendidikan kepada golongan mualaf menerusi dana zakat.

“Namun naratif yang pantas digerakkan bukan mengenai kebajikan atau hak peribadi seorang mualaf untuk mendapatkan bimbingan. Sebaliknya, apa yang sengaja dibayangkan ialah ancaman, agenda tersembunyi dan ketakutan melampau terhadap Islamisasi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih berkata, UPSI menjadi mangsa manipulasi persepsi apabila program sokongan seperti itu telah ditafsirkan sebagai ancaman.

Bahkan menurutnya, ruang bimbingan itu juga disalah anggap sebagai agenda terselindung dan usaha membantu saudara baharu diputarbelitkan seolah-olah satu serangan terhadap kebebasan kaum lain.

Kata beliau, keadaan itu tidak berlaku secara semula jadi, sebaliknya dibentuk melalui pengulangan naratif tertentu sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan Islam dianggap sebagai risiko sebelum dinilai berdasarkan fakta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan seorang Ahli Majlis MCA, Lee Ching Kong yang memuat naik hantaran mengandungi imej manipulatif serta memperlekehkan wanita bertudung dengan status sinis ‘pergi Holland’ menunjukkan persepsi negatif terhadap Islam masih wujud dalam masyarakat.

“Isu ini bukan sekadar melibatkan satu hantaran media sosial yang melampau, tetapi menimbulkan persoalan lebih besar mengapa tindakan memperlekehkan simbol identiti Islam dianggap boleh diterima dan menguntungkan dari sudut politik.

“Jawapannya mudah, kerana ketakutan telah dijadikan komoditi politik. Dalam sesetengah segmen pengundi, menjual kebimbangan dan momokan terhadap Islam dianggap strategi kempen paling berkesan

“Semakin besar kegelisahan yang berjaya dicetuskan, semakin tinggi pulangan politik yang boleh dituai,” ulasnya terhadap pertikaian dimulakan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam daripada DAP itu.

Beliau menyifatkan keadaan itu sebagai satu paradoks apabila program kebajikan untuk saudara baharu dianggap ancaman nasional, sedangkan politik secara memperdagangkan ketakutan terhadap agama majoriti diterima sebagai sesuatu yang biasa.

Selain itu katanya, agihan zakat dan bantuan kepada mualaf sering dipersoalkan secara terbuka, namun tindakan memperlekehkan simbol Islam di pentas politik dipertahankan atas alasan kebebasan bersuara.

“Apabila poster pendaftaran mualaf di sebuah universiti mampu mencetuskan kegemparan yang lebih besar berbanding budaya politik yang menunggang isu Islamofobia sebagai modal kempen, maka masalah sebenar bukan lagi terletak pada poster tersebut.

“Masalah sebenar ialah apabila emosi ketakutan telah mengambil alih tempat fakta,” ujar Ustaz Nushi yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS dalam komentarnya terhadap isu tersebut.

Beliau berkata, masyarakat kini tidak lagi menilai sama ada sesuatu isu itu benar atau salah, sebaliknya terus bertindak balas apabila sesuatu perkara dikaitkan dengan Islam.

“Itulah petanda kejayaan sebuah industri ketakutan,” tegasnya isu yang menjadi tular di media sosial selepas dikritik beberapa pihak di mana mempersoalkan kewujudan platform berkenaan di institusi pengajian tinggi awam.

Isu itu turut mendapat perhatian apabila seorang Ahli Majlis MCA memuat naik hantaran mengandungi imej disunting serta status yang dikatakan memperlekehkan wanita Muslim bertudung dan mengaitkan program berkenaan dengan Islamisasi.

Susulan kontroversi tersebut, pelbagai pihak tampil mempertahankan inisiatif berkenaan dengan menjelaskan bahawa ia bertujuan menyediakan sokongan kebajikan, pendidikan dan bimbingan kepada individu mualaf.

Sehubungan itu, Nushi berpandangan bahawa penyelesaian kepada isu berkenaan bukan dengan bertindak secara emosional, sebaliknya melalui pendekatan penerangan dan dialog yang lebih dekat dengan masyarakat.

Katanya, orang Islam termasuk kerajaan serta agensi agama perlu lebih aktif mendekati masyarakat Cina bagi menjelaskan konsep dakwah, mualaf, fungsi zakat dan batas yang ditetapkan Perlembagaan dalam melindungi hak semua pihak.

“Salah faham tidak akan selesai jika kita hanya bercakap sesama sendiri. Ia perlu dijawab dengan kehadiran, penjelasan dan hubungan yang jujur.

“Masyarakat yang matang tidak dibina dengan momokan. Ia dibina dengan keberanian untuk menerangkan kebenaran secara adil, tenang dan berakal,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/6/2026

- Advertisement -