Tindakan ke atas Azlan bukti PH semakin terdesak

- Advertisement -

KUALA KRAU: Tindakan merehatkan pengulas sukan di RTM, Azlan Johar yang dikhuatiri selepas dikaitkan dengan penyertaan dalam PAS disifatkan sebagai petanda kerajaan Pakatan Harapan (PH) semakin terdesak dan kehilangan sokongan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian, sambil menegaskan bahyaa tindakan sebegitu adalah tidak selari dengan amalan demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat untuk menyertai mana-mana parti politik.

- Advertisement -

Menurut beliau, keputusan merehatkan individu berkenaan daripada tugas sebagai pengulas sukan selepas menyerahkan borang keahlian PAS hanya akan meningkatkan kebencian rakyat terhadap kerajaan.

“Ini sistem demokrasi. Terpulang kepada rakyat untuk menyertai mana-mana parti. Tindakan seperti ini bukan menambah sokongan kepada kerajaan, sebaliknya menambahkan kebencian rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa PAS Harapan Terakhir Rakyat Malaysia, di sini.

Mengulas lanjut kata beliau, rakyat semakin hilang keyakinan terhadap kerajaan pimpinan PH berdasarkan perkembangan politik semasa yang dilihat menunjukkan wujud percanggahan dalam kalangan parti komponen kerajaan.

Beliau yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini pernah mengkritik tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, namun situasi berbeza berlaku apabila negeri lain yang ditadbir rakan gabungan kerajaan turut mengambil langkah sama.

“Perdana Menteri sendiri dia ‘balun’ Umno di Johor kerana membubarkan Dewan Negeri Johor. Dia kata Johor itu panjang lagi waktunya. Tak ada keperluan untuk dibubarkan segera. Dia tegur siapa dia, dia tegur Umno sebab Johor Umno yang menguasai.

“Tapi Umno ni ialah rakan bersama dalam Kerajaan Persekutuan. Okeylah sebab ni Umno rakan bersama yang menyokong PM membentuk kerajaan persekutuan dalam kerajaan perpaduan.

“Tiba-tiba Negeri Sembilan, ‘partner’ dia pun isytihar bubar juga. Makna apa dia? Dia hilang kawalan. Sebab itu tindakan-tindakan yang dibuat melampau,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS berdepan pelbagai tuduhan dan label negatif sejak penubuhannya, namun parti itu terus istiqamah meneruskan perjuangan serta mendekati rakyat.

“PAS sering dilabel dengan pelbagai gelaran dan tuduhan, namun kita terus bersabar, istiqamah dan meneruskan kerja untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu, Harakahdaily melaporkan Azlan Johar yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan, telah direhatkan daripada tugasnya sebagai pengulas sukan di sempena kejohanan Piala Dunia 2026, sejurus beliau mengumumkan menyertai parti politik PAS.

Perkara ini telah dibangkitdan disahkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – HARAKAHDAILY 16/6/2026

- Advertisement -