
PENGKALAN CHEPA: Keprihatinan masyarakat penting bagi membendung pelbagai gejala termasuk penyalahgunaan dadah yang dilihat semakin membimbangkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Nik Bahrum Abdullah.
Menurutnya, Kelantan antara tiga negeri tertinggi peringkat negara dalam masalah penyalahgunaan dadah dan perkara ini perlu dikawal sebaiknya.
“Beberapa kawasan termasuk Kampung Pulau Gajah di Pengkalan Chepa turut dikenal pasti berdepan isu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim peringkat DUN Chempaka di sini.
Sehubungan itu, Nik Bahrum menyatakan bahawa seramai 145 penerima menerima sumbangan masing-masing membabitkan 100 anak yatim dan 45 golongan OKU.
Tambahnya, anak-anak yatim perlu bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu kerana kesusahan hidup dan kekurangan yang dihadapi keluarga bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.
“Setiap apa yang berlaku sebelum ini merupakan takdir Allah, namun masa depan banyak bergantung kepada usaha yang kita lakukan hari ini.
“Jangan jadikan kesusahan keluarga sebagai alasan untuk tidak berjaya. Belajarlah bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah nasib keluarga dan tidak mewarisi kesusahan yang sama pada masa akan datang,” ujarnya.
Menurut beliau, sejarah telah membuktikan ramai tokoh besar berjaya walaupun datang daripada latar belakang yang serba kekurangan.
“Rasulullah SAW sendiri merupakan seorang anak yatim piatu, namun berjaya memimpin umat manusia, manakala ramai para sahabat Baginda juga tidak menjadikan kesusahan sebagai penghalang untuk berjuang,” kongsinya.
Justeru, beliau menekankan bahawa kejayaan juga boleh dicapai melalui usaha dan kesungguhan tanpa bergantung sepenuhnya kepada latar belakang keluarga atau pencapaian akademik,” jelasnya.
“Masyarakat perlu sentiasa peka dan bersama-sama menjaga kesejahteraan komuniti bagi mengelakkan pelbagai gejala sosial daripada terus menular,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2026











