
ISU ROHINGYA yang menumpang di tanah air kita, setelah mereka berjaya melepaskan diri dari kepungan tentera Myanmar sedikit masa dahulu, kini sudah bertukar menjadi isu negara yang mana telah memberikan kesan negatif kepada sesetengah masyarakat.
Tidak perlu menggali semula sejarah negara Arakan, kerajaan Islam mereka dahulu, sebab yang pastinya mereka sedang terseksa di negara mereka sendiri dengan tidak diakui sebagai warga oleh kerajaan Myanmar.
Hatta Aung San Suu Kyi yang digegerkan sebagai pejuang dan negarawan di Myanmar itu juga tidak mahu membantu Rohingya. Tiada lagi harapan mereka kerana mereka bukan sahaja dihambat dari kampung mereka, malah dibunuh.
Dan seperti biasa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi buta, pekak dan bisu dengan nasib yang menimpa etnik Rohingya ini. Lari adalah pilihan terbaik bagi golongan yang mampu. Manakala yang tinggal, tidak diketahui nasibnya. Sewaktu ia memuncak, jangan kata orang Islam, malah DAP sekalipun melaungkan keadilan untuk Rohingya. Begitu kuat gelombang untuk selamatkan mereka.
Isu yang memburuk ialah sikap mereka terhadap masyarakat setempat kerana peribadi mereka sememangnya kasar dan kurang beradab.
Apa yang kita harapkan dengan mereka yang tinggal begitu lama dalam situasi perang, tekanan hidup yang dahsyat, tidak mendapat pendidikan yang sempurna untuk mengerti dengan budaya di negara lain. Hidup dan nasib mereka tidak seperti kita. Sudah ratusan tahun mereka hidup dengan cara kasar begitu. Maka ia secara tidak langsung menjadi budaya hidup mereka. Mustahil ia boleh diubah setahun dua.
Dengan berbekalkan kad UNHCR yang menurut pakar UKM, banyak yang palsu, ada diantara mereka yang memilih untuk melakukan kerja-kerja kotor yang sebenarnya didalangi oleh segelintir rakyat kita juga. Berlakulah pertembungan negatif antara etnik Rohingya dengan rakyat Malaysia. Dan sesetengah mereka mengikut hati dengan melakukan keganasan satu sama lain. Pun begitu, sebenarnya masih ramai mereka yang baik, boleh diterima dalam masyarakat kita.
Baiknya sebuah negara bernama Malaysia
Malaysia negara yang baik ini, pernah menerima pelarian perang Vietnam sekitar 1975 dahulu akibat balas dendam Vietkong kepada pengkhianat yang membantu Amerika. Kita juga menerima rakyat Kemboja yang lari dari kekejaman Pol Pot. Antara keduanya, Kemboja mempunyai majoriti umat Islam, dibenarkan tinggal di kampung-kampung di dalam Malaysia sehingga mereka mendapat kad pengenalan biru, boleh mengundi.
Manakala rakyat Vietnam yang bukan Islam, diletakkan di Pulau Bidong, Terengganu, yang Islam dibawa ke tanah besar. Beberapa kumpulan terawal pelarian perang ini terdiri dari kalangan cerdik pandai, kemudiannya diambil oleh negara-negara Barat.
Sedangkan kumpulan yang datang selepas itu dianggap sebagai ‘orang hanyut’ yang terpaksa dikembalikan ke Vietnam oleh Kerajaan Malaysia kerana keadaan di Vietnam telah aman dari perang. Ini menimbulkan kemarahan ‘orang hanyut’ itu sehingga mencetuskan rusuhan di Pulau Bidong dan Kem Sungai Besi.
Perang sebenar di Vietnam tamat pada awal 80-an. Sementara di Kemboja, perang tamat pada 1998. Itu bezanya kenapa pelarian Kemboja tidak dihantar pulang.
Lagi bukti kebaikan orang Melayu ialah lama sebelum peristiwa ini, pada awal 1900, Tanah Melayu juga pernah menerima kemasukan beramai-ramai pelarian perang dari Tanah Besar China. Mereka bukan sekadar menumpang di Tanah Melayu, malahan mereka turut menubuhkan persatuan mereka sendiri. Tidak pandai berbahasa dan beradab Melayu. Kiblat pemerintahan mereka adalah kepada China samada Dr. Sun Yat Sen, Mao Zedong dan lain-lain.
Parti pertama yang ditubuhkan mereka ialah Partai Komunis Malaya pada 1930. Parti ini pernah ditegur oleh Ho Chin Minh kerana terlalu mengongkong diri dengan bangsa dan negara asal mereka sahaja. Ia sepatutnya lebih terbuka dengan menerima bangsa Melayu supaya perjuangan mereka lebih bermakna. Namun mereka tetap dengan asabiyyah mereka.
Pelarian perang dari China ini menjadikan Tanah Melayu sebagai tapak bagi mereka menyerang kembali Jepun yang telah memusnahkan negara mereka dan juga membantu kumpulan revolusi bagi menumbangkan maharaja. Kemudian mereka berkembang dan menubuhkan keperluan komuniti seperti persatuan, sekolah sendiri, dewan perniagaan dan lain-lain.
Bila kaduk naik junjung
Sehinggalah mereka semakin ramai, mereka kemudiannya ingin menguasai Tanah Melayu sehingga pernah berpakat dengan British, malah ada yang menerima bintang dari Kerajaan British. Akhirnya mereka berjaya menguasai Tanah Melayu selama dua minggu selepas Perang Dunia Kedua dan melakukan pembunuhan kejam terhadap orang-orang Melayu Islam melalui mahkamah rimba mereka. Mereka kemudiannya memilih berperang dengan British dan Kerajaan Malaysia. Mereka menuntut Tanah Melayu ini sebagai hak mereka.
Bagi memujuk ahli PKM ini supaya menjadi warga negara yang baik, British telah bersetuju untuk mengadakan Rancangan Briggs yang mana antaranya ialah dengan menubuhkan ‘Kampung Baru’ dengan ada yang ditawarkan kepada ahli PKM ini tanah-tanah secara percuma. Sedangkan orang-orang Melayu tidak banyak yang ditawarkan begitu kerana mereka tidak terlibat dengan komunis, hanya segelintir berada dalam Rejimen ke-10.
Bahkan menjadi rahsia umum berkenaan perbincangan pintu belakang antara Tan Cheng Lock dengan British bagi mendapatkan apa-apa kemudahan di Tanah Melayu, namun orang Melayu sendiri tidak mendapatnya. Umno sendiri terpaksa merempat meminjam wang daripada MCA.
Sudahlah buat jahat dengan peribumi, dikurniakan pula tanah kepada mereka secara percuma. Namun golongan komunis ini disokong oleh ramai dari kalangan pendatang. Serpihan komunis ini kemudiannya menubuhkan parti baharu secara sah. Dan pada 13 Mei 1969, terjadilah peristiwa pertumpahan darah yang menyayat hati seluruh rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian.
Antara punca berlaku peristiwa hitam ini adalah kerana kerana provokasi kaum yang melampau hasil hasutan dari komunis sewaktu berkempen. Akan tetapi mereka sangat pandai berlakon agar tidak kelihatan jahat mereka dan mereka sangat kukuh bersatu sesama mereka walau nampak bermusuhan. Begitulah perangai pendatang yang naik junjung.
Mengapa Kerajaan Terengganu cuba disalahkan?
Rohingya adalah beragama Islam. Sebagaimana kata Suhakam, kita tidak boleh menghantar mereka kembali ke kawasan konflik. Maksudnya mereka seperti Kemboja. Jika kita boleh menerima komunis yang bukan Islam dan kemudiannya ada antara mereka yang berubah menjadi warga negara yang baik, begitu juga orang Kemboja, apa salahnya dengan Rohingya? Tetapi nasib Rohingya kelihatannya tidak sama akibat banyak kes yang menyebabkan kemarahan rakyat Malaysia. Ditambah lagi dengan isu seorang rakyatnya di Australia yang menghina Malaysia.
Namun jika dilihat kepada perbuatan Rasulullah seusai perang, baginda menawarkan kepada tahanan perang yang pandai untuk mengajarkan ilmu kepada orang Islam, akan dibebaskan. Begitu juga sikap yang perlu kita berikan, bantu mereka dalam pendidikan, mungkin menggunakan wang UNHCR kerana apabila mereka pandai nanti, mereka akan berbudaya seperti kita. Contoh rakyat Kemboja dan bekas komunis itu jelas selepas mereka ada ilmu.
Semua proses memberi kerakyatan ini adalah dibawah punca kuasa Kerajaan Pusat. Maka apabila isu Rohingya ini diuar-uarkan dengan cubaan memberi terhadap kerajaan negeri, maka ia jelas suatu serangan yang terancang oleh pembangkang di Terengganu. Mereka tiada isu, hinggakan gagal mengenal pasti punca kuasa Pusat dan Negeri.
Baca laporan akhbar dimana Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution telah menyatakan bahawa kementeriannya akan mengambil tindakan terhadap isu ini, menunjukkan bahawa isu ini di bawah Pusat. Kerajaan Negeri tiada kuasa dalam menentukan tindakan seperti menghalau mereka ataupun menghukum mereka, hanya kuasa yang terhad. Isu ini mesti ditangani secara menyeluruh oleh kedua-dua kerajaan.
Persoalan serangan kepada Kerajaan Negeri dalam isu Rohingya ini juga menyebabkan kita terfikir. Apakah ia ada kaitan dengan dakwaan oleh seorang pakar dari UKM yang mendakwa sebahagian Rohingya di Terengganu dahulu ada cawangan politik. Dan apabila pegawai polis di Terengganu mahu melakukan siasatan kerana kad UNHCR terlalu banyak, beliau kemudiannya diarahkan sambung belajar. Teringat pula kisah pengundi hantu, mungkin yang Rohingya disangka Bangla dulu?
MOHD NASIR ABDULLAH
16 Jun 2026 – HARAKAHDAILY 16/6/2026
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











