
KUALA LUMPUR: Nota persefahaman yang dimeterai antara Amerika Syarikat (AS) dan Republik Islam Iran semalam (15 Jun) disifatkan hanya bertujuan menamatkan peperangan serta memastikan laluan kapal di Selat Hormuz dibuka semula.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan, persefahaman itu masih belum mencapai tahap perjanjian damai seperti Perjanjian Camp David antara Mesir dan Israel.
“Jalan-jalan ke arah perjanjian damai sepenuhnya masih lagi jauh dan berliku,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dalam satu kenyataan.
Muhammad Khalil berpandangan Presiden AS, Donald Trump berada dalam keadaan terdesak untuk memeteraikan persefahaman itu bagi menyelamatkan dirinya daripada kancah peperangan yang diciptanya.
“Ia dapat dilihat dalam kenyataannya yang mengulangi bahawa Iran telah kalah, perjanjian telah dicapai dan perang telah pun tamat sehingga diulang lebih dari 40 kali sejak konflik bermula.
“Persefahaman yang berlaku berjaya menjaga air muka ‘kuasa besar dunia’ AS dari kekalahan, maka dengan sendirinya Donald Trump boleh mengarahkan pengunduran tentera Amerika Syarikat dengan alasan perang telah pun tamat,” jelas beliau.
Dalam masa sama, Muhammad Khalil menjelaskan, Iran masih mengekalkan strategi ‘melambat-lambatkan’ proses berkenaan, yang diibaratkan seperti pembuat karpet yang tidak gopoh dan gelojoh, selaras dengan falsafah pemikiran bangsa Parsi.
Tambah beliau, bagi Iran, persefahaman itu merupakan satu ‘ujian’ bagi menilai kejujuran AS, selain menjadi langkah dalaman untuk membina kekuatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan, khususnya jika peperangan kembali tercetus.
“Apa yang pasti pihak yang paling rugi dalam persefahaman ini ialah negara haram Israel,” ulasnya.
Beliau turut menegaskan, peperangan yang berlaku adalah ciptaan Zionis yang menguasai AS bagi mencapai matlamat Israel Raya yang diisytiharkan Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu.
Menurutnya, Netanyahu turut menerima kecaman hebat daripada pimpinan Zionis kerana gagal mengheret AS untuk meneruskan peperangan dengan Iran.
Beliau turut mempersoalkan sejauh mana persefahaman itu mampu bertahan ketika Israel terus melancarkan serangan ke atas Lubnan dan Gaza.
“Senario yang paling dekat boleh berlaku ialah pertembungan Iran dan Israel secara langsung, manakala Amerika Syarikat hanya akan memberi sokongan dari belakang dan tidak akan terlibat secara langsung.
“Apa yang pasti perkembangan terkini yang berlaku berpihak kepada perjuangan pembebasan Palestin walaupun menerima tamparan yang hebat dari sudut korban nyawa dan harta benda,” jelasnya.
Muhammad Khalil berpandangan bahawa entiti haram Zionis Israel semakin melemah, manakala imperialisme Barat yang didominasi AS semakin menguncup.
“Apa yang penting Dunia Islam hendaklah sentiasa berwaspada dan kekal membina penyatuan ummah serta kekuatan dalaman bagi menghadapi cabaran di hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/6/2026











